Tersentuh tengok semangat 'luar biasa' warga emas terima vaksin

Muhammad Ridzal (berdiri) turut membantu kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing bagi menjayakan program vaksinasi Covid-19 kepada penduduk Sungai Lembing di klinik itu yang bermula pada Sabtu.
Muhammad Ridzal (berdiri) turut membantu kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing bagi menjayakan program vaksinasi Covid-19 kepada penduduk Sungai Lembing di klinik itu yang bermula pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Berdepan pelbagai karenah masyarakat terutama warga emas yang teruja untuk menerima suntikan vaksin antara rutin dilalui Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Sungai Lembing Muhammad Ridzal Sukimi.

Rumahnya sentiasa dikunjungi penduduk terutama warga emas yang menghadapi masalah membaca untuk mendapatkan pengesahan maklumat melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang disangka panggilan menerima vaksin Covid-19.

Menurutnya, apabila diperiksa, SMS berkenaan sekadar informasi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung vaksin dan bukan panggilan untuk menerima suntikan.

"Ada juga yang menyangka pesanan untuk peringatan tambah nilai daripada syarikat telco pun sebagai mesej panggilan untuk vaksin," katanya.

Baginya, situasi yang dilalui itu bukan perkara yang melucukan sebaliknya bukti ramai warga emas yang menemuinya itu teruja dan prihatin terhadap kepentingan menerima suntikan berkenaan.

"Kesedaran mereka begitu tinggi sebab itu mereka segera datang menemui saya untuk pengesahan supaya tidak terlepas tarikh temu janji.

"Walaupun ada yang datang mengetuk pintu pada tengah malam, saya tetap melayan mereka dan menjelaskan tentang kekeliruan yang timbul," katanya.

Muhammad Ridzal berkata, dia juga tersentuh dengan semangat sesetengah warga emas di kampung itu yang sanggup berjalan kaki sejauh satu kilometer ke rumahnya semata-mata untuk meminta bantuan mendaftar sebagai penerima vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan mereka ini tinggal bersendirian dan tiada anak-anak untuk membantu mendaftar selain tidak tahu menggunakan aplikasi MySejahtera untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendaftaran Imunisasi Covid-19 Mukim Ulu Kuantan berkata, ekoran situasi itu, beliau bersama pengerusi JKKK kampung di bawah Mukim Hulu Kuantan menggerakkan inisiatif membantu penduduk mendaftar dan mengatur program pemberian vaksin khusus untuk mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Sungai Lembing.

"Penduduk tidak perlu lagi ke pusat lain yang jauh dari kampung. Ia juga memudahkan penerima terutama golongan emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk hadir menerima suntikan mengikut tarikh ditetapkan," katanya.

"Tujuan utama kita ialah memastikan orang ramai khususnya warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak tercicir daripada menerima vaksin.

"Ketika ini pihak jawatankuasa berjaya mendaftarkan kira-kira 1,200 penduduk dan sebahagiannya sudah menerima suntikan semalam," katanya.

Menurutnya, beliau puas kerana dapat membantu penduduk walaupun terpaksa bersengkang mata hingga awal pagi untuk selesaikan urusan pendaftaran, tugas penyerahan borang dan mengumpul maklumat penduduk diserahkan kepada pengerusi JKKK kampung terlibat.

"Melalui data yang terkumpul kami akan daftarkan melalui aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi Covid-19 Negeri Pahang ( SICP) selain mengatur senarai keutamaan penerima.

"Memandangkan talian internet agak lambat pada waktu siang, kami memilih untuk melakukan kerja-kerja pada waktu malam walaupun terpaksa bersengkang mata hingga awal pagi," katanya.

Jelasnya beliau berpuas hati kerana inisiatif jawatankuasa itu mendapat kerjasama banyak pihak terutama Penghulu Mukim Ulu Kuantan Mohd Khairil Anuar Alwi dan kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing.

Muhammad Ridzal berkata, di sebalik ramai yang mempunyai semangat luar biasa untuk menerima vaksin, beliau akui ada juga yang enggan berbuat demikian kerana terpengaruh dengan dakyah pihak anti vaksin.

"Ada yang menolak vaksin kerana takut mati dan sebagainya. Walau apa pun pendirian mereka, kami tetap mengedarkan borang kepada golongan ini dan memberi penjelasan mengenai faedah menerima vaksin terutama kepada warga emas yang berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan.

"Alhamdulillah, ada yang lembut hati mengubah fikiran dan datang menemui kami beberapa hari kemudian minta bantu didaftarkan," katanya.