Croatia hilang khidmat Perisic akibat Covid-19

Perisic
Perisic
A
A
A

FINALIS Piala Dunia 2018, Croatia tidak dapat menurunkan, Ivan Perisic pada aksi kalah mati berdepan Sepanyol di Stadium Parken, Copenhagen pada Selasa setelah pemain berkenaan disahkan positif Covid-19 pada Sabtu.

Menurut satu kenyataan rasmi daripada pasukan berkenaan, pemain berusia 32 tahun itu kini menjalani proses isolasi di bawah pengawasan pihak perubatan pasukan dan sebarang perkembangan lanjut mengenai pemain berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

“Perisic kini menjalani proses isolasi dan diasingkan daripada pemain-pemain lain serta-merta hari ini (Sabtu).

“Dia bakal menjalani proses isolasi berkenaan selama 10 hari dan sepanjang tempoh itu dia tidak akan terlibat dengan sebarang perlawanan dengan skuad kebangsaan Croatia,” katanya.

Kenyataan berkenaan sekali gus menyaksikan Perisic tidak akan beraksi pada saingan kalah mati dan juga pada saingan suku akhir (sekiranya layak), kelak.

Untuk rekod, Perisic telah beraksi dalam kesemua perlawanan bersama Croatia pada Euro 2020 dengan menjaringkan dua gol setakat ini.

Malah, Perisic turut menjaringkan gol ketika menewaskan Scotland pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D, di Hampden Park, Glasgow, pada Rabu.

Sementara itu difahamkan, kesemua pemain serta pegawai skuad The Blazers telah pun menjalani ujian calitan dan kesemua mereka disahkan negatif.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua pemain dan pegawai pasukan akan berlepas ke Copenhagen pada Isnin bagi mengharungi aksi kalah mati berdepan Sepanyol pada Selasa,” menurut kenyataan berkenaan.