Selepas video dodol tular, Opah Yang seronok berlakon

Opah Yang seronok berlakon apabila video tular tingkatkan penjualan dodolnya.
Opah Yang seronok berlakon apabila video tular tingkatkan penjualan dodolnya.
A
A
A

PASIR SALAK - Pada usia mencecah 79 tahun, seorang warga emas tidak kekok beraksi depan kamera hingga video celotehnya berkaitan perniagaan dodol dalam loghat Perak tular di media sosial.

Saerah Abdul Majid yang juga pengusaha dodol mula dikenali penduduk tempatan dengan tagline 'hello-hello Opah ye' bagi mempromosikan makanan tradisional itu.

Dia yang lebih mesra dipanggil Opah Yang tidak menyangka video berbentuk nasihat berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dirakam beberapa bulan lalu menjadikan dirinya kini popular.

"Saya rasa gementar dan malu masa itu sebab tak pernah bercakap depan kamera. Saya juga tidak pandai baca skrip tulisan rumi.

"Mujur Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek mengajar dan tidak sangka video itu boleh 'meletup' (tular)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Empai Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini pada Sabtu.

Menurut warga emas itu, ia bermula apabila hasil penjualan dodol yang diusahakannya lebih 10 tahun lalu merudum akibat pelaksanakan PKP tahun lalu.

"Bila bisnes dodol tidak jalan, anak-anak minta saya buat promosi jualan kuih sambil dibantu Nordin. Sejak itu perlahan-lahan saya kenal apa itu internet, bisnes dalam talian dan Tik Tok.

"Saya tahu video yang baharu ini tular dan ramai mula kenal saya. Ada pelanggan yang datang kedai mesti minta bergambar. Saya malu juga sebab tua dan tak pandai melawa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata Opah Yang, dia segan apabila ada pihak yang menjadikannya sebagai contoh usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berikutan terdapat usahawan lain yang lebih berjaya perlu dijadikan ikon.

"Kami berniaga kecil-kecil, menggunakan resepi lama. Anak, Normi Ramli dan cucu yang rajin mempromosikan perniagaan melalui pelbagai platform perniagaan seperti ordar.my, shopee serta Youtube.

"Semua ini rezeki. Selepas video itu, jualan dodol meningkat hingga mendapat permintaan seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Tambahnya,dia tidak menolak sekiranya ada pihak yang ingin memanggilnya berlakon.

"Saya boleh, sebab berlakon depan kamera tidak memenatkan sangat," ujarnya.