1,000 penduduk Pulau Redang dijangka terima vaksin Julai ini

Proses vaksinasi terhadap penduduk di Pulau Redang itu bakal mengambil masa selama sehari.
Proses vaksinasi terhadap penduduk di Pulau Redang itu bakal mengambil masa selama sehari.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 1,000 penduduk Pulau Redang yang layak menerima vaksin bakal disuntik melalui program Jejak Vaksin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sejurus Terengganu menerima bekalan vaksin tambahan yang dijangka tiba Julai ini.

Dekan Fakulti Perubatan UniSZA Profesor Dr Harmy Mohamed Yusoff berkata, pihaknya kini sedang melakukan persiapan awal seperti menyiapkan senarai nama penerima vaksin dengan dibantu Pejabat Daerah Kuala Nerus.

“Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada bila kita akan dapat vaksin tersebut. Kita difahamkan bekalan mungkin lebih banyak pada Julai nanti jadi kita harap selepas itu kita boleh adakan program di kawasan tersebut (Pulau Redang) termasuk di kawasan pedalaman yang lain.

“Lagipun kita perlu segera laksanakan vaksinasi di kawasan pulau sebelum tibanya musim tengkujuh hujung tahun ini. Kalau masuk bulan September itu sudah susah untuk pergi. Tambahan pula, ramai penduduk di sana terlibat dalam industri pelancongan jadi pemberian vaksin ini dapat membantu memulihkan sektor pelancongan di pulau tersebut,” katanya kepada pemberita pada program Jejak Vaksin UniSZA di Sekolah Kebangsaan Kesom di sini.

Beliau berkata, proses vaksinasi terhadap penduduk di Pulau Redang itu bakal mengambil masa selama sehari atau satu setengah hari, bergantung kepada kapasiti pasukan atau bilangan sukarelawan yang terlibat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika lawatannya ke Terengganu pada 17 Jun lepas berkata, negeri ini akan menerima lebih 200,000 dos lagi bekalan vaksin Covid-19 mulai bulan depan.

Dalam pada itu, Dr Harmy berkata, Jejak Vaksin UniSZA yang bermula semalam merupakan sebuah program ‘outreach’ yang menyasarkan penduduk di kawasan pedalaman dan bertujuan meningkatkan pengambilan vaksin dalam kalangan rakyat Terengganu.

Katanya, dalam tempoh enam bulan bermula Jun ini, lebih 15,000 suntikan vaksin bakal diberikan kepada penduduk pedalaman melalui program tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Sukarelawan bagi program ini terdiri daripada pakar-pakar perubatan; pensyarah kejururawatan; pensyarah farmasi; jururawat; ahli farmasi; pelajar perubatan dan sebagainya.

“Selain itu ia juga disertai sukarelawan bukan dalam bidang perubatan seperti pensyarah daripada Fakulti Informatik dan Komputeran serta kakitangan sokongan. Pasukan ini berupaya memberikan suntikan vaksin antara 300 hingga 600 orang sehari dan jumlah itu boleh dipertingkatkan berdasarkan kepada keperluan semasa,” katanya.

Dr Harmy berkata, program outreach itu merupakan usahasama UniSZA dengan Kementerian Pengajian Tinggi; Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu; Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Jabatan Pendidikan Negeri Terenganu; dan kerajaan negeri Terengganu serta beberapa badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan. - Bernama