X

Kindly register in order to view this article
!

Enggan jawab soalan, Gareth Bale tinggalkan sidang media

Gareth Bale enggan mengulas soalan mengenai masa depannya bersama Wales.
A
A

BINTANG Wales, Gareth Bale meninggalkan sidang media ketika ditanya mengenai masa depannya bersama pasukan berkenaan setelah gagal layak ke saingan suku akhir Euro 2020 apabila ‘dibelasah’ 0-4 oleh Denmark pada aksi kalah mati di Johan Cruyff Arena, pada Ahad.

Bagaimanapun pengendali Wales, Robert Page mempertahankan tindakan penyerang berusia 31 tahun itu sambil menyifatkan soalan berkenaan agak sensitif apatah lagi setelah skuad The Dragons itu ‘dimalukan’ Denmark dengan kekalahan besar berkenaan.

“Bale melakukan tindakan yang betul dengan meninggalkan sidang media kerana seperti pemain lain di bilik persalinan di ketika ini (itu), dia sangat kecewa. Oleh itu, untuk apa dia menjawab soalan seperti itu?

“Bagi saya soalan seperti itu bagai tidak sensitive dengan keadaan semasa. Apa tujuan soalan seperti itu ditanya ketika dia (Bale) baru sahaja meninggalkan padang setelah pasukannya mengalami kekalahan?

“Oleh itu, saya rasa tindakannya meninggalkan sidang media adalah tindakan yang tepat kerana ia jelas melibatkan emosi ketika itu,” katanya.

Page berkata demikian bagi mengulas tindakan pemain Real Madrid itu meninggalkan sidang media berkenaan pada Ahad, sejurus selepas ditanya mengenai masa depannya bersama The Dragons itu selepas ini.

Difahamkan, soalan yang ditanya hanya setakat ‘Saya tahu anda telah ditanya semalam apakah perlawanan (dengan Denmark) ini akan menjadi perlawanan terakhir anda untuk Wales dan anda mengatakan anda mahu (beraksi) untuk sekurang-kurangnya satu...’ sebelum Bale bertindak meninggalkan sidang media berkenaan.

Bagaimanapun sebelum sidang media berkenaan, Bale sempat menjawab soalan berhubung tindakan pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Wales, Harry Wilson kerana mengasari pemain Denmark Kieffer Moore pada minit ke-90.

“Dalam bola sepak, jika ada melakukan terjahan dari belakang ia adalah kekasaran tetapi dalam insiden itu (Wilson dan Moore), dan saya rasa pengadil mungkin terpengaruh dengan penonton.

“Namun secara keseluruhannya, saya akui ia sesuatu yang mengejutkan apabila pasukan yang beraksi pada separuh akhir Euro 2016 lalu di France, gagal layak ke suku akhir kali ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!