13 tahun langsai pinjaman, warga emas masih belum terima geran rumah

Mohammed Nor Ar Jamli,81 kiri bersama isterinya Maimon Mohamed,78
Mohammed Nor Ar Jamli,81 kiri bersama isterinya Maimon Mohamed,78
A
A
A

KLANG - Sepasang warga emas mendakwa masih belum menerima geran rumah milik mereka daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun selepas 13 tahun melunaskan pinjaman.

Timbalan Presiden Aktivis Kramat, Faizan Mohd Nor berkata, beliau menerima aduan daripada pasangan warga emas tersebut yang sudah buntu dan kecewa apabila diperlakukan sedemikian.

Menurutnya, warga emas tersebut merupakan pesara guru, Maimon Mohamed, 78, terpaksa menguruskan masalah itu sendiri setelah suaminya, Mohammed Nor Ar Jamli, 81, diserang strok dan hilang kemampuan untuk bertutur.

“Perkara ini telah berlarutan selama 13 tahun, apabila ditanya tentang status geran ini, pihak peguam dan DBKL hanya menuding jari kepada sesama sendiri sahaja.

"Mereka bermain tarik tali pula, perkara seperti ini tidak patut berlaku ini adalah pasangan warga emas. Saya menggesa pihak DBKL supaya mengambil tindakan tegas kepada pegawai yang sengaja menyusahkan orang ramai terutama warga emas seperti ini," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Maimon ketika dihubungi berkata, dia buntu dan amat terkilan dengan layanan yang diterimanya dari pihak peguam serta pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Bekas guru itu berkata, pinjaman rumah berkenaan telah dilangsaikan oleh suaminya 13 tahun lalu dan urusan pemindahan hak milik daripada pemilik asal kepada namanya telah selesai sejak tahun 2010.

"Saya terkilan masih tak dapat geran rumah sedangkan dah habis bayar dan tukar nama kepada nama saya, pemilik asal pun sudah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Pihak peguam cakap lain, DBKL pula cakap lain. Rumah di Putra Ria Bangsar bukan banglo tetapi rumah pangsa sahaja, jadi kenapa pelbagai alasan yang diberikan kepada warga emas seperti saya ini.

"Saya tinggal di Klang, dengan keadaan suami saya yang sakit bukan mudah untuk saya bergerak. Anak-anak saya terpaksa memohon cuti untuk bawa saya ke Kuala Lumpur untuk uruskan masalah ini, namun tidak kira berapa kali saya pergi masalah masih belum selesai," keluhnya.

Sehubungan itu, pihak Sinar Harian berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak DBKL berkenaan masalah tersebut pada Jumaat, namun masih belum menerima sebarang jawapan.