Pemilik akaun Facebook dicari isu hina institusi diraja, kerajaan

PDRM telah membuka 18 kertas siasatan seorang individu kerana mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan sejak 2018 sehingga kini.
PDRM telah membuka 18 kertas siasatan seorang individu kerana mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan sejak 2018 sehingga kini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 18 kertas siasatan seorang individu kerana mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan sejak 2018 sehingga kini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya dalam usaha mengesan dan menangkap suspek yang dipercayai berada di Jerman.

"Sejak tahun 2018 sehingga kini, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka terhadap suspek di bawah Akta Hasutan 1948 dan kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 298a, Seksyen 500, Seksyen 504 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

"Siasatan turut dijalankan selari dengan peruntukan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati pergerakan (keluar) terakhir suspek ialah pada 2 November 2017 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Status pasport suspek telah dibatalkan oleh Imigresen pada 25 November 2020.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, terkini suspek turut disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut, berbaur perkauman, bersifat jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan suspek sekali gus boleh menyebabkan kegentaran awam serta menggugat keamanan negara.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain," katanya.

Pada Jumaat, suspek memuat naik video bertajuk 'Racist in vaccine Malaysia' melalui akaun facebook Ganesparan Nadaraja.

Suspek dalam kenyataannya mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama 'Sinovac' diberikan kepada golongan bukan muslim manakala muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama 'Pfizer'.

Klip video berdurasi lapan minit 54 saat telah mendapat sebanyak 10,000 tontotan turut dikesan ditularkan melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, orang ramai diseru agar sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan dan tidak terpengaruh dengan berita yang tidak dipastikan kesahihan sumbernya.

"Orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat kententeraman dan keselamatan awam," katanya.