'Berikan komitmen 150 peratus berdepan Belanda'

Schick taruhan Silhavy untuk berdepan Belanda pada saingan kalah mati Pusingan 16 Terbaik Euro 2020. -Foto: AFP
Schick taruhan Silhavy untuk berdepan Belanda pada saingan kalah mati Pusingan 16 Terbaik Euro 2020. -Foto: AFP
A
A
A

PENGENDALI Republik Czech, Jaroslav Silhavy mahu pemain memberikan komitmen sehingga 150 peratus pada aksi kalah mati berdepan Belanda pada Isnin bagi menempah slot ke suku akhir Euro 2020 kelak.

Menurut Silhavy, jika pemain mampu mengulangi aksi cemerlang seperti ketika berdepan Scotland pada aksi peringkat Kumpulan D pada 14 Jun lalu, skuad The Locomotive itu tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir.

Malah katanya, kemaraan skuad kendaliannya itu ke suku akhir dilihat sudah cukup untuk mencipta kejutan pada saingan Euro kali ini.

“Bagi saya Belanda adalah pasukan yang memiliki banyak kualiti. Selain memiliki ramai pemain yang berkualiti, corak serta gaya permainan permainan mereka juga jelas dilihat berkualiti.

“Oleh itu, kami perlu melihat dan mengkaji perkara ini dengan lebih dalam di mana kami akan turut melihat prestasi semasa pemain-pemain utama mereka selain meneliti skil yang dimiliki pemain-pemain berkenaan.

“Setakat ini, kami dapati pemain-pemain Belanda sememangnya beraksi baik dengan corak permainan pantas dengan memastikan bola sentiasa berada dengan jentera serangan pasukan,” katanya.

Republik Czech menamatkan saingan peringkat Kumpulan D pada tangga ketiga setelah tewas 0-1 kepada England pada perlawanan terakhir di Stadium Wembley, awal pagi Rabu lalu dan seterusnya menempah pertemuan dengan juara Kumpulan C, Belanda.

Sementara itu, Silhavy berharap dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya pada perlawanan berkenaan bagi memastikan kejayaan pasukan.

Artikel Berkaitan:

Pengendali berusia 59 itu turut berharap agar pemain seperti penjaga gol, Tomas Vaclik dan penyerang Patrik Schick dapat mengulangi aksi cemerlang masing-masing bagi mencerahkan peluang pasukan ke suku akhir bagi edisi kali ini.

“Kita berpeluang untuk mara ke suku akhir, dengan syarat semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya bagi menghasilkan kejayaan yang diidam-idamkan,” katanya.