Yakin ada hikmah tersendiri

Wan Rohaimi Wan Ismail
Wan Rohaimi Wan Ismail
A
A
A

MAJORITI kelab Liga Premier akur dengan keputusan Liga Bola Sepak (MFL) untuk meminda tarikh sepak mula liga berikutan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu mendapat saranan daripada pihak kerajaan berikutan kes harian Covid-19 yang masih berada di tahap membimbangkan.

Situasi itu membuatkan beberapa pasukan sedia menilai kembali susunan jadual latihan secara camp based training dengan memberikan ruang untuk berehat kepada pemain.

Ketua Jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, berkata, beliau menerima dengan hati terbuka terhadap arahan yang dikeluarkan namun dalam pada masa sama turut mengambil berat terhadap kesihatan mental pemain-pemain.

“Kita akur dengan arahan diberikan pihak kerajaan dan mungkin hikmahnya kepada kita memberikan ruang lebih baik bagi buat persiapan lebih jitu untuk hadapi baki dalam sembilan perlawanan lagi.

“Saya akan bersikap positif dan apa yang akan dibuat selepas ini adalah untuk mengatur semula program latihan yang kita telah rangka dan kemungkinan saya akan bagi ruang kepada pemain untuk berehat.

“Aspek mental pemain juga perlu dijaga memandangkan mereka telah hampir sebulan mengadakan latihan secara camp based tetapi perkara ini akan diputuskan dalam satu mesyuarat dengan pihak pengurusan.

“Mungkin pemain-pemain akan diberi cuti lima hari bagi berjumpa dengan ahli keluarga dan apabila mereka mahu pulang balik untuk mengadakan latihan, kita akan mengikut kembali SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan iaitu membuat RT-PCR terhadap semua pemain,” katanya.

PDRM sepatutnya berdepan Kelantan United FC pada 3 Julai ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur namun berdasarkan penangguhan diumumkan MFL, satu tarikh baharu akan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Pindaan diumumkan itu turut termasuk melibatkan perlawanan tertunda Perak FC II bertemu Kelantan FC di Ipoh, yang sebelum ini dijadual pada 29 Jun manakala Selangor FC 2 menentang Sarawak United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun.

Namun bagi saingan Liga Super, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan menyatakan tarikh perlawanan tiada perubahan namun semuanya tertakluk kepada arahan terkini pihak kerajaan.

Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan juga menghormati keputusan terkini yang dikeluarkan MFL sambil menyifatkan segala arahan atau saranan yang ditetapkan oleh kerajaan perlu dihormati.

“Kita sudah semestinya perlu mengikut apa diputuskan oleh kerajaan kerana kita semua kena bersama-sama membantu tambahan kes harian COVID-19 ini masih tinggi.

“Bagi pihak Sarawak, kami akan menunggu terlebih dahulu jadual terbaharu yang akan dikeluarkan oleh MFL sebelum membuat sebarang keputusan mengenai latihan pasukan.

“Banyak aspek perlu dilihat kerana pasukan telah mengeluarkan belanja yang tinggi dan dalam masa sama kita kena tengok bila Liga Malaysia dapat dimulakan kerana ada kemungkinan ‘total lockdown’ ini akan bersambung lagi dua minggu atau lebih lama lagi,” katanya.

Manakala ketua jurulatih Perak II, Syamsul Mohd Saad, menganggap keputusan itu mengundang hikmah tersendiri buat pasukannya kerana memberikan ruang persiapan yang lebih baik.

“Keputusan ini saya rasa baik untuk Perak II sebenarnya kerana kami baharu sahaja mengadakan latihan dan berdasarkan apa diumumkan, saya rasa tiada masalah untuk kami terima.

“Saya faham keputusan yang diambil oleh MFL dan kerajaan ini bukan mudah kerana situasi pandemik COVID-19 ini masih belum terkawal namun saya tetap berharap liga kita musim ini dapat dihabiskan,” katanya.