Rais, Azhar Azizan menghadap Agong Selasa ini

Istana Negara
Istana Negara
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa ini.

Memetik laporan Free Malaysia Today, perkara itu disahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu pesanan ringkas tanpa memberikan butiran maklumat dengan lebih lanjut.

Sementara itu, menurut portal TheVibes, Rais dan Azhar Azizan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi, Selasa dan masing-masing telah menerima jemputan semalam (Jumaat).

Menurut seorang sumber, Yang di-Pertuan Agong dipercayai akan berbincang dengan mereka berhubung persidangan semula Parlimen sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos.

Pada Jumaat, Rais dan Azhar Azizan dalam kenyataan bersama memaklumkan persidangan Parlimen secara hibrid dijangka akan diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Bagaimanapun, mereka turut menyatakan beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.

Sehubungan itu, satu sidang khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan akhir Julai dan sekiranya ia diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Artikel Berkaitan: