Kerajaan terus fokus perangi Covid-19

Ronald menyampaikan bakul makanan kepada 200 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Maidan, Paitan, Sabah pada Sabtu.
Ronald menyampaikan bakul makanan kepada 200 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Maidan, Paitan, Sabah pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan terus fokus dan bekerja keras untuk keluar dari kemelut pandemik Covid-19 di samping memulihkan serta membangunkan semula ekonomi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan tidak akan terganggu dalam apa-apa keadaan sekalipun dan akan terus bekerjasama dengan barisan hadapan negara serta rakyat untuk memerangi Covid-19.

Justeru, beliau menggesa orang ramai untuk sama-sama menyahut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar terus cekal dengan semangat juang bagi tempoh mendatang.

“Tidak dapat dinafikan penutupan sektor ekonomi memberi kesan amat besar kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

“Namun, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, sekali gus memastikan sistem kesihatan awam negara tidak runtuh.

“Saya juga percaya dengan usaha berterusan, kita akan berjaya,” katanya selepas penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 200 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Maidan, Paitan, Sabah pada Sabtu.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, Samad Jambri dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sabah Ribin Wahid.

Mengulas lanjut, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion walaupun mempunyai ruang fiskal yang amat terhad.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua itu dilaksanakan atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, sekali gus memastikan mewujudkan keseimbangan antara keperluan untuk melindungi nyawa dan menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Justeru, kerajaan sentiasa memberi penekanan khusus terhadap sekuriti makanan bagi memastikan jaminan dan kelangsungan bekalan makanan negara,” ujarnya.

Beliau berkata, peralihan fasa mengikut strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah berpaksikan tiga indikator ambang utama termasuk purata kes baharu Covid-19 harian, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan penduduk yang divaksin sepenuhnya.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang giat dilaksanakan ketika ini akan membantu menjayakan PPN mencapai sasaran iaitu sekurang-kurangnya 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok,” ujar Ronald.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penyerahan sumbangan bakul makanan kepada 200 KIR di Kampung Maidan merupakan sebahagian daripada 16,000 bakul makanan yang diagihkan Pejabat Parlimen Beluran sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

Pengagihan bantuan berupa keperluan asas itu dilakukan menerusi tiga zon iaitu di Sugut membabitkan 5,000 KIR, manakala Telupid dan Labuk masing-masing membabitkan 5,000 dan 6,000 KIR.