Muslimat Pas kecam cubaan normalisasi zina di media sosial

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Muslimat Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang cuba menormalisasi perbuatan zina secara terbuka di media sosial.

Ketuanya, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, kewujudan Facebook dengan nama ‘Tukar Pasangan Suami Isteri (Suka Sama Suka)’ adalah tidak bermoral melibatkan umat Islam yang sudah berkahwin.

Menurutnya, perbuatan tersebut akan merosakkan manusia terutama melibatkan nasab sekiranya lahir anak di luar hubungan perkahwinan.

“Islam meletakkan garis panduan yang jelas berhubung halal haram daripada segenap aspek termasuk berkaitan persetubuhan.

“Lelaki bersetubuh dengan wanita yang tidak halal baginya iaitu yang belum dinikahi adalah perbuatan zina dan berdosa besar,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung kewujudan kumpulan Facebook yang dianggap sensitif dan kurang sopan apabila ada individu berstatus suami sanggup bertukar pasangan untuk tujuan maksiat.

Mengulas lanjut, Nuridah berkata, pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab itu wajar dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 49 Percubaan Persetubuhan Haram, Enakmen Jenayah (Syariah) 1992.

“Perbuatan tersebut jelas mengajak pengguna media sosial lain ke arah mempraktikkan persetubuhan haram dengan cara menukar pasangan masing-masing secara suka sama suka di media sosial.

Artikel Berkaitan:

“Muslimat Pas menggesa pihak berkuasa untuk membawa pelaku tersebut ke muda pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya,” ujarnya.