Penjana lulus RM198.67 juta bantu pengusaha pertanian

Majlis penyerahan sumbangan bakul makanan untuk 200 Ketua Isi Rumah di Kampung Maidan, Sugut dekat sini, pada Sabtu.
Majlis penyerahan sumbangan bakul makanan untuk 200 Ketua Isi Rumah di Kampung Maidan, Sugut dekat sini, pada Sabtu.
A
A
A

BELURAN - Sebanyak RM198.67 juta pembiayaan telah diluluskan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank melalui peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sehingga 16 Jun lepas bagi membantu pengusaha pertanian yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, 15,612 pengusaha perusahaan kecil sederhana dan pertanian telah menerima pembiayaan daripada keseluruhan RM350 juta yang diperuntuk di bawah skim mikrokredit itu.

“Kerajaan sentiasa memberi penekanan khusus terhadap sekuriti makanan bagi memastikan jaminan dan kelangsungan bekalan makanan negara.

“Kerajaan berada di landasan yang betul untuk beralih keluar dari kemelut pandemik Covid-19 kepada norma kehidupan seharian sepertimana yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara namun kejayaan pelan ini memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat secara keseluruhannya,” kata Ahli Parlimen Beluran itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan bakul makanan untuk 200 Ketua Isi Rumah di Kampung Maidan, Sugut dekat sini, pada Sabtu.

Beliau berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada 16,000 bakul makanan yang diagihkan oleh Pejabat Parlimen Beluran di kawasan terbabit sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0. -Bernama

Artikel Berkaitan: