Tunggu waktu tepat umum sasaran pingat Olimpik: Reezal Merican

Reezal Merican (duduk, dua, kiri) mendengar penerangan dari Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) semasa mengadakan lawatan meninjau persiapan terakhir atlet berbasikal negara di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai pada Sabtu. -Foto Bernama
Reezal Merican (duduk, dua, kiri) mendengar penerangan dari Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) semasa mengadakan lawatan meninjau persiapan terakhir atlet berbasikal negara di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai pada Sabtu. -Foto Bernama
A
A
A

TIADA sebarang tekanan diberikan kepada barisan atlet negara ketika ini dengan meletakkan sasaran spesifik buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlangsung bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara terpenting bagi atlet negara ketika ini ialah persiapan mereka berada di landasan tepat di sebalik rintangan getir yang terpaksa dilalui.

"Kita sentiasa mengharapkan yang terbaik dan pada waktu ini, yang penting ialah persiapan atlet berada dalam keadaan dan tahap yang tinggi walaupun cabaran yang mereka terpaksa lalui itu agak getir dengan kekangan serta hambatan dalam suasana Covid-19 dan sebagainya.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua persatuan sukan yang terbabit, MOM (Majlis Olimpik Malaysia dan juga MSN (Majlis Sukan Negara) yang telah berjaya menyediakan persekitaran agar tiada sebarang proses terbantut dalam soal penyediaan latihan mereka (atlet),” katanya.

Reezal Merican, yang ditemui pemberita selepas meninjau persiapan terakhir skuad berbasikal trek negara ke Sukan Olimpik di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai pada Sabtu, berkata sasaran pingat akan diumumkan pada waktu yang tepat.

Beliau turut mengakui beberapa faktor melibatkan Covid-19 memberi kesan terhadap perancangan dan sasaran pingat di Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, Reezal Merican berkata barisan atlet negara tidak menganggap impak negatif Covid-19 sebagai rintangan yang mereka tidak boleh harungi.

"Semangat inilah saya yakin insya-ALLAH akan membuahkan keputusan yang boleh dianggap memberi rasa bangga kepada rakyat Malaysia dan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, 22 atlet negara secara rasmi telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo dengan yang terbaharu bekas juara dunia Cheong Jun Hoong kembali berada dalam slot acara platform 10 meter individu wanita manakala beberapa atlet turut berpeluang beraksi di temasya berkenaan.

Pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, tiada sebarang sasaran spesifik diletakkan buat kontinjen negara namun Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa. - Bernama