X

Kindly register in order to view this article
!

Lima lokaliti di Sabah, dua di Pahang dikenakan PKPD

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Lima lokaliti di Sabah dan dua di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin hingga 11 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dikuatkuasakan di Sabah melibatkan Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang), Kinabatangan; Kampung Tuunon, Penampang’ Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat dan Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami bersetuju melaksanakan PKPD di kelima-lima lokaliti ini.

“Masing-masing akan berkuat kuasa pada Isnin sehingga 11 Julai 2021. Pelaksanaan PKPD ini juga bertujuan untuk menghalang penularan kes sekali gus mengelakkan jangkitan kepada individu lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dua lokaliti di Pahang pula melibatkan Tringkap, Cameron Highlands dan kawasan sekitar Bandar Jerantut.

“Di Tringkap, Cameron Highlands, KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu apabila sebanyak 70 kes telah dikesan hasil ujian saringan ke atas 592 individu di kawasan berkenaan.

“Di kawasan sekitar Bandar Jerantut pula mendapati 186 individu disahkan positif Covid-19 selepas 421 penduduk menjalani ujian saringan. Justeru, KKM mendapati berlaku peningkatan yang ketara di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau memberitahu, pihaknya bakal melanjutkan PKPD di dua lokaliti di Kota Belud, Sabah membabitkan Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, enam lokaliti di Sabah juga telah ditamatkan PKPD berkuatkuasa Ahad ini.

“Enam lokaliti ini adalah Kampung Indah, Nabawan; Kampung Manggis, Kuala Penyu; Kampung Baru (SFI), Sipitang dan dua di Tawau iaitu Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah.

“Kampung Sundang Laut, Sandakan pula akan ditamatkan PKPD lebih awal berbanding tarikh asal iaitu 29 Jun,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!