Bookie Euro 2020 antara 122 aktiviti judi tumpas

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya menumpaskan 122 aktiviti perjudian di sekitar negeri ini dalam tempoh 1 Jun hingga 25 Jun tahun ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan terbabit membabitkan 78 kes perjudian dalam talian, 30 serbuan melibatkan loteri awam haram serta perjudian bookie bola sepak kejohanan Euro 2020 sebanyak 14 kes.

Menurutnya, menerusi Op Dadu tersebut, seramai 144 individu telah ditahan.

“Dalam serbuan itu, antara barangan yang dirampas termasuk had kredit boleh dituntut oleh pemain keseluruhannya berjumlah RM400,000, wang tunai sebanyak RM64,739 serta 96 buah telefon bimbit pelbagai jenama.

"Turut dirampas tiga unit komputer riba dan masing-masing satu set komputer dan modem,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Sabtu.

Kamarul Zaman berkata, kesemua kesalahan itu disiasat bawah Seksyen 4(1)(c) dan 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Menurutnya, pihaknya kesal kerana aktiviti perjudian masih beroperasi secara tersembunyi walaupun negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Polis Kedah akan sentiasa mengambil tindakan tegas untuk pastikan aktiviti perjudian dibanteras menerusi pelbagai usaha secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

Saya juga harap orang ramai salurkan maklumat berkaitan kepada polis di talian 04-7326999,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman turut mengumumkan kejayaan Polis Kedah membongkar aktiviti pengedaran dadah di negeri ini dalam tempoh 10 Jun hingga Khamis lalu.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 548 kes dan 614 tangkapan melibatkan pengedar dan penagih dadah direkodkan. Daripada jumlah itu, 100 kes melibatkan 140 pengedar dadah manakala 448 kes melibatkan 474 penagih dadah.

Manakala, lima pengedar dadah telah ditahan bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, dadah jenis heroin merupakan rampasan tertinggi, iaitu sebanyak 2,675 gram, diikuti 1,448 gram syabu, ganja sebanyak 324 gram serta rampasan daun ketum sebanyak 4,337 kilogram.

“Antaranya, Ops Cantas Khas Langkawi pada Isnin dan Selasa lalu telah menahan seramai 52 individu atas pelbagai kesalahan dadah, iaitu 11 individu bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 41 lagi di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Tegasnya, pihaknya akan terus memastikan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penagihan dadah dikekang, dan mohon kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada balai polis terdekat.