Depresi Covid-19 ancam masyarakat

No Image Caption
A
A
A

[SURAT PEMBACA] Saya terpanggil untuk menulis artikel ini selepas membaca satu lagi laporan berita mengenai kes terjun bangunan seorang ahli perniagaan berusia 26 tahun di Bagam Ajam, Butterworth baru-baru ini.

Reaksi pertama saya selepas membaca artikel tersebut bercampur-baur di antara sedih, kecewa dan kesal dengan kejadian yang berlaku.

Sedih kerana usia mangsa masih terlalu muda, kecewa kerana kurangnya sistem sokongan di dalam kalangan masyarakat dan kesal kerana masih kurangnya kesedaran terhadap masalah kemurungan dan kesihatan mental di negara ini.

Untuk rekod, data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini mendedahkan 91.2 peratus daripada 100,000 panggilan yang diterima daripada talian bantuan sokongan dan psikososial, memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Pulau Pinang sahaja, Ketua Menteri negeri itu, Chow Kon Yeow mendedahkan, purata 10 orang bertindak membunuh diri dalam tempoh sebulan iaitu sepanjang pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Di manakah puncanya?

Saya tidak menafikan kesempitan hidup yang terpaksa diharungi rakyat sejak pandemik ini bermula sejak tahun 2020 telah banyak mengubah cara hidup rakyat secara umum dan menyumbang kepada peningkatan kes kemurungan dan tekanan mental.

Mana tidaknya, ada yang kehilangan punca pendapatan akibat dibuang kerja serta bagi yang berniaga pula terpaksa “gulung tikar” akibat tidak mampu lagi menampung kerugian.

Artikel Berkaitan:

Sumber Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan, lebih 30,000 buah syarikat menutup operasi pada tahun 2020.

Manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim memaklumkan Sistem Insuran Pekerjaan merekodkan hampir 100,000 pekerja diberhentikan antara Januari hingga 27 November 2020.

Bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, “Work From Home” atau bekerja dari rumah juga tidak kurang memberi tekanan mental. Secara umumnya memang mereka masih mempunyai punca pendapatan, namun persekitaran kehidupan yang dianggap “norma baharu” ini secara senyap mengancam kesihatan mental.

Kurangnya interaksi sosial dan pergerakan menghimpit emosi masyarakat dan bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut menuntut kecekalan dan kesabaran yang tinggi dikalangan ibu dan bapa.

Tekanan emosi ini juga turut mengancam institusi kekeluargaan apabila pada tahun 2020, kes keganasan rumahtangga mencecah 23% berbanding 15% pada tahun sebelumnya, sepertimana yang dilaporkan oleh pertubuhan Sister In Islam (SIS).

Segala faktor yang saya nyatakan di atas ini mungkin hanya menyumbang beberapa peratus kepada permasalahan yang dihadapi individu atau mangsa bunuh diri, namun saya berpendapat semua pihak bukan sahaja kerajaan, wajar memandang serius ancaman ini. Kita bukan sekadar berdepan virus Covid-19!

Peranan ketua komuniti dan pihak berkuasa tempatan (PBT)

Peranan Ketua Komuniti seperti ketua-ketua kampung, pengerusi jawatankuasa penduduk, kelab rukun tetangga dan lebih-lebih lagi PBT sangat penting dalam mendepani cabaran pandemik ini.

Usaha-usaha mendekati masyarakat wajib dipergiatkan menerusi segala bentuk keadah yang ada.

Inilah masanya ketua-ketua komuniti ini memainkan peranan proaktif mengambil cakna tentang keluarga-keluarga mahupun individu yang hilang punca pendapatan dan berdepan kesukaran menyediakan makanan kepada anak dan isteri mereka.

Itulah punca segala permasalahan sekarang iaitu pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selain mengenalpasti keluarga atau individu terbabit, ketua komuniti seharusnya berupaya mendapatkan sokongan daripada pelbagai badan kerajaan dan bukan kerajaan yang sentiasa sedia membantu golongan ini.

Sebagai contoh di Maryland, Amerika Syarikat, pihak Montgomery County di negeri itu, aktif menganjurkan seminar-seminar kesedaran awam berkaitan masalah kesihatan dan penyalahgunaan dadah bagi membendung aktiviti jenayah sepanjang tempoh lockdown di negeri itu.

Di Malaysia, terdapat banyak NGO-NGO dan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang sudi menggembeling tenaga untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti sebegini secara percuma.

Contohnya, Women in Rail (WIR) Malaysia, sebuah NGO yang terlibat dalam pembangunan wanita bagi bidang rel, banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan atas talian secara percuma kepada masyarakat.

Global Peace Foundation Malaysia juga antara badan NGO yang aktif menghulurkan bantuan pek makanan kepada golongan B40 di negara ini.

Selain itu, PBT juga perlu memainkan peranan menyediakan bantuan menerusi tabung kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. PBT lebih dekat dengan masyarakat setempat dan berhubung terus dengan ketua-ketua komuniti, justeru segala bentuk tindakan bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan teratur.

Peranan majikan dan rakan sekerja penting

Saya kini berkhidmat di sebuah syarikat swasta yang sangat menitikberakan soal keharmonian di tempat kerja. Berkhidmat di jabatan yang dikategorikan sebagai ‘non-crucial’, saya juga mula bekerja dari rumah sejak Mac tahun lepas.

Saya akui, bekerja dari rumah tidak semudah yang disangka, pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui bagi membahagikan masa demi tugas, kerja rumah dan keluarga. Ia memerlukan kekuatan mental dan disiplin yang tinggi lebih-lebih lagi bagi wanita bekerjaya dan mempunyai anak.

Majikan memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu pekerja mengharungi keadaan yang sukar ini. Majikan perlu lebih memahami dan peka dengan keadaan pekerja yang terpaksa bergelut di rumah menguruskan masa untuk berkerja, anak-anak dan kerja-kerja rumah.

Interaksi harian melalui kaedah video conferencing dapat membantu pekerja untuk kekal berinteraksi.

Malahan, majikan juga digalakkan untuk melakukan one-to-one session bagi berbincang mengenai isu kehidupan dan lain-lain perkara yang tidak melibatkan kerja. Ini sedikit-sebanyak dapat membantu mengurangkan tekanan emosi bekerja di rumah dan rasa lebih dihargai.

Pada ketika ini, penting bagi majikan untuk bersikap terbuka dan membantu pekerja sekiranya dikesan mengalami masalah kemurungan dan tekanan perasaan.

Konsep bekerja dari rumah juga merupakan peluang terbaik untuk majikan meningkatkan kemahiran dikalangan pekerja. Majikan disaran untuk menganjur kelas dan seminar atas talian bagi mengisi masa pekerja yang bekerja dari rumah.

Saya sendiri telah menghadiri lebih daripada 50 kelas dan seminar atas talian anjuran pihak syarikat sepanjang beberapa siri PKP ini yang diberikan secara percuma kepada kesemua pekerja.

Kelas-kelas dan seminar ini meliputi pelbagai topik termasuklah kelas bahasa, kelas memasak, seminar pendedahan awam termasuk “mental health awareness” dan seminar berkaitan kerja-kerja teknikal dan bukan teknikal.

Lebih menarik, penganjuran aktiviti-aktiviti atas talian seperti ini melibatkan zero-cost dan kadangkala hanya memerlukan kos minimal sekitar RM300 (bagi majikan) untuk satu sesi.

Majikan juga harus meningkatkan kerjasama di antara pemain industri dan mempergiat kerjasama di antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta menggunakan pengalaman staf sedia ada bagi menggembeling tenaga untuk berkongsi ilmu demi manfaat semua.

Masih relevankah istilah “jangan jaga tepi kain orang” di kalangan masyarakat?

Dalam masyarakat Melayu ada satu pepatah yang begitu terkenal yang menggambarkan sifat ingin tahu yang berlebih-lebihan dalam menjaga hal ehwal orang lain.

Sejak bertahun lamanya kita dididik dengan istilah “jangan jaga tepi kain orang” sehingga runtuhnya institusi kejiranan dan kelemahan pada institusi kekeluargaan. Masing-masing hanya menjaga diri sendiri tanpa menghiraukan apa yang berlaku disekeliling mereka.

Jadi masih relevankah ‘jangan jaga tepi kain orang’ pada hari ini?

Saya berpendapat pepatah ini harus disuburkan semula bagi sesetengah perkara terutamanya yang melibatkan pemasalahan sosial seperti tekanan mental, kes buang bayi, penderaan dan penculikan.

Masyarakat harus saling mengenali antara satu sama lain dan perlu memikul tanggungjawab untuk saling membantu ketika keadaan mendesak.

Aktiviti-aktiviti mesra kejiranan yang asas seperti berkebun, beriadah, memasak dan sebagainya harus diterapkan semula bagi membolehkan masyarakat saling mengenali seterusnya memainkan peranan bagi membantu kesulitan yang dihadapi.

Self-Love kunci utama

Akhir-akhir ini istilah self-love banyak digunakan di laman media sosial. Self-love merupakan aspek penting bagi kesihatan mental. Sewaktu self-love diterapkan, kita akan merasa lebih mudah untuk berfikiran positif termasuk ketika marah, sedih, kecewa kerana hal-hal ini adalah bentuk penerimaan diri.

Perasan cinta diri sendiri membolehkan kita untuk berkomunikasi lebih baik dengan orang lain, mengejar minat dan mimpi serta merasa bangga dengan diri sendiri walau apa jua keadaan.

Self-love boleh dicapai apabila kita mula mengenal diri sendiri, berhenti membandingkan diri dengan orang lain, percaya dengan diri sendiri, kenali rasa takut dan ingatlah bahawa tiada orang yang sempurna.

Luangkan masa untuk diri sendiri dengan melakukan lebih banyak aktiviti senaman dan jaga pemakanan bagi mendapatkan kesihatan fizikal yang baik, seterusnya mendorang kepada perkembangan mental yang lebih positif.

Bagi mereka yang bekerja di rumah, ambillah peluang ini untuk meluangkan lebih masa untuk diri sendiri seperti mengamalkan tips-tips kecantikan yang jarang dilakukan, membaca, melibatkan diri dengan kelas-kelas atas talian serta melakukan aktiviti-aktiviti tambahan yang tidak dapat dilakukan sewaktu bekerja di pejabat seperti menari, yoga dan memasak.

Bagi saya sendiri yang bekerja di rumah, saya masih berdandan dan mengenakan pakaian pejabat untuk menghadiri mesyuarat atas talian kerana ia membantu meningkatkan keyakinan diri ketika berinteraksi dengan rakan-rakan sekerja dan orang luar.

Berdepan dengan cara hidup norma baharu, kita harus segera menghentikan stigma terhadap masalah isu kesihatan mental. Masalah ini merupakan masalah serius dan tidak boleh dipandang sebelah mata lagi.

Buang sifat prejudis dan stereotaip terhadap mangsa tekanan mental dan mainkan peranan sebagai masyarakat bertanggungjawab dalam menangani cabaran tekanan mental di negara ini.

* Nina Jamil ialah Pengurus Komunikasi YTL Construction