132 pedalaman Sabah perlukan pasukan vaksinasi Covid-19

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 132 perkampungan pedalaman di Sabah memerlukan khidmat pasukan Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk menjalankan program vaksinasi Covid-19 di kawasan berkenaan, kata Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, Ismail Sabri berkata, satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi membincangkan perkara tersebut bersama kerajaan negeri, termasuk dalam aspek menentukan perkampungan pedalaman yang perlu diberi keutamaan untuk memudahkan pergerakan pasukan berkenaan.

“CMVT ini diwujudkan bertujuan memberi vaksin kepada penduduk pedalaman yang tiada akses, atau ada akses tetapi agak sukar untuk masuk melalui jalan darat, dan mengambil masa sekitar lima hingga tujuh jam, dengan CMVT penduduk pedalaman tidak perlu keluar, pasukan ini akan datang ke kampung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi Pandu Lalu Peringkat Divisyen Kelima Infantri di Padang Kawad, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Lok Kawi di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, setakat ini pasukan CMVT di Sabah telah memulakan jelajah ke Kampung Long Pasia, Sipitang selama dua hari berakhir semalam menerusi Program Jiwa Murni, untuk memberi suntikan vaksin kepada penduduk di kawasan itu selaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata hanya 227 penduduk dibenarkan menerima suntikan vaksin pada program itu dan pasukan CMVT telah diarah masuk ke kawasan berkenaan sekali lagi, bagi memastikan semua penduduk mendapatkan vaksin, malah akan pergi daripada rumah ke rumah bagi memberikan suntikan vaksin.

“Pasukan CMVT akan meneruskan jelajah Program Jiwa Murni bagi memberi suntikan vaksin kepada penduduk pedalaman di Inarad, dekat Tongod, yang dijadual berlangsung pada 20 dan 21 Julai ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: