2,500 set bakul makanan untuk penduduk Temerloh jalani PKPD

Mohd Sharkar (dua,kiri) menerima sumbangan set bakul makanan yang disampaikan oleh Mun Kit (dua, kanan) pada Jumaat.
Mohd Sharkar (dua,kiri) menerima sumbangan set bakul makanan yang disampaikan oleh Mun Kit (dua, kanan) pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Sebanyak 2,500 set bakul disumbangkan oleh Syarikat Asia Honour Paper (AHP) Industries (Malaysia) Sdn Bhd sebagai salah satu inisiatif bagi membantu penduduk di Parlimen Temerloh yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sumbangan tersebut bagi meringankan beban mereka yang terjejas sepanjang PKPD dijalankan di kawasan terlibat.

Menurutnya, sumbangan itu diagihkan kepada mereka yang terpilih selain penghantaran ke rumah yang terlibat dalam tempoh kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita mengalu-alukan sumbangan yang diberikan oleh pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan(NGO) supaya ia dapat meringankan beban mereka yang terjejas," katanya pada Sinar Harian.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan sumbangan set bakul makanan itu oleh syarikat tersebut di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Temerloh pada Jumaat.

Hadir sama, Pengurus Besar syarikat itu, Koh Mun Kit dan Pengurus Hubungan Luar, Nicholas Tan.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang memberitahu, sumbangan itu adalah kali kedua ditaja oleh syarikat terbabit.

Mengulas PKPD yang dilaksanakan di lima lokaliti di Mentakab, beliau menjelaskan, pelbagai bantuan diberikan termasuk penglibatan Pasar Raya Darul Makmur (PDM) yang menawarkan khidmat pasar basah bergerak penduduk di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Lima lokaliti terlibat iaitu Taman Saga,Taman Saga Indah,Taman Rimba, Taman Sri Layang dan Taman Bukit Bendera dikenakan PKPD bermula Selasa lalu hingga 5 Julai ini.