Masalah kewangan, terputus makanan punca gangguan emosi

JKM Negeri Sembilan mengendalikan sebanyak 52 kes gangguan emosi sepanjang PKP sejak 1 Jun sehingga Selasa lepas. Gambar hiasan
JKM Negeri Sembilan mengendalikan sebanyak 52 kes gangguan emosi sepanjang PKP sejak 1 Jun sehingga Selasa lepas. Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Bahagian Psikologi dan Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan mengendalikan sebanyak 52 kes gangguan emosi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun sehingga Selasa lepas.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, ia melibatkan 49 kes gangguan emosi disebabkan masalah kewangan dan terputus sumber makanan.

"Bakinya pula adalah kes keganasan rumah tangga. Tiada spesifik kes kemurungan yang dilaporkan setakat ini, hanya melibatkan tekanan hidup.

"Sumber ini adalah melalui panggilan telefon ke Jabatan dan aduan di Talian Kasih 15999," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara usaha dilakukan JKM adalah menjalankan khidmat nasihat dan sokongan psikososial, rujukan ke agensi lain serta rujukan bagi bantuan kewangan dan bantuan bakul makanan JKM bagi kes-kes bersesuaian.

"Kes gangguan emosi sepanjang PKP merekodkan trend penurunan iaitu sebanyak 97 kes pada awal tahun sehingga Jun ini berbanding 319 kes pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh leka dan sentiasa memantau keadaan ini. Talian kasih 15999 sentiasa dibuka 24 jam dan boleh menghubungi pada waktu pejabat menerusi JKM Negeri Sembilan di talian 06-7659 332 atau e-mel jkmn_sembilan@jkm.gov.my," katanya.

Mengulas kes suami mengurung isteri dan anak-anaknya di rumah baru-baru ini, lelaki berkenaan telah dibawa mendapatkan rawatan oleh keluarganya sama ada perubatan moden dan tradisional.

Artikel Berkaitan:

"Suami mangsa mempunyai rekod gangguan mental dan bukan kerana kehilangan pekerjaan akibat PKP," katanya.