Sidang Parlimen sebelum darurat berakhir: Kor Ming

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming akan membawa suara orang ramai yang meminta untuk Parlimen bersidang semula sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos ini.

Menurut wakil Pakatan Harapan (PH) ke Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid itu, ia supaya proklamasi dan ordinan darurat dapat diperdebat berdasarkan Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya telah menerima jemputan lisan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk menghadiri satu mesyuarat jawatankuasa khas pada 5 Julai ini,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, dilaporkan persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Azhar dalam kenyataan bersama pada Jumaat bagaimanapun menyatakan beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.

Mereka berkata, satu sidang khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan akhir Julai sekiranya ia diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat.

Mengulas lanjut, Kor Ming yang merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut menyifatkan kenyataan dibuat oleh Rais dan Azhar itu telah membawa kepada pertikaian dan merosakkan peranan serta fungsi institusi Parlimen.

“Terutama ketika negara menderita akibat pandemik Covid-19 dan ramai yang memerlukan pertolongan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sekiranya Parlimen hanya bermula pada 1 September ini, ia selepas 75 hari daripada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan mendakwa satu lagi catatan dunia memalukan bagi pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik keputusan kerajaan PN untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji mekanisme bagaimana mengadakan semula Parlimen termasuk secara hibrid.

“Ia adalah tidak bertanggungjawab, menyebabkan kelewatan dan boleh dianggap sebagai detik hitam dalam sejarah Malaysia.

"Adalah sangat jelas kerajaan PN menderita daripada ‘Parlimen fobia’,” tegasnya.