Gajah liar Meranto berjaya ditangkap

Operasi pemindahan gajah liar ini telah dijalankan pada Sabtu dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Kasturi dan Rambai.
Operasi pemindahan gajah liar ini telah dijalankan pada Sabtu dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Kasturi dan Rambai.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar jantan berumur lingkungan 15 tahun dalam satu operasi yang dijalankan pada Rabu lalu berhampiran kawasan Klinik Kesihatan Meranto, Kampung Meranto, di sini.

Pengarah Perhilitan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif dalam satu kenyataan berkata, operasi tangkapan berkenaan dilakukan berdasarkan aduan orang ramai mengenai gangguan gajah liar tersebut yang merosakkan tanaman dan memasuki kawasan Ladang Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), Meranto.

"Bertindak atas aduan berkenaan, lapan anggota daripada Jabatan Perhilitan Daerah Gua Musang dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Negeri Kelantan telah menjalankan pemantauan dan seterusnya berjaya menangkap gajah berkenaan pada Rabu lalu," katanya.

Menurutnya, gajah liar tersebut dipercayai daripada kumpulan gajah Meranto yang habitatnya adalah hutan simpan berdekatan iaitu di Hutan Simpan Kekal Stong Tengah dan Hutan Simpan Kekal Berangkat.

Susulan dengan tangkapan gajah liar tersebut memberi kelegaan kepada penduduk di sekitar kawasan Kampung Meranto dan ladang berhampiran, selain dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda.

"Operasi pemindahan gajah liar ini telah dijalankan hari ini dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Kasturi dan Rambai serta 12 orang kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

"Selain itu, operasi ini juga turut melibatkan 19 orang kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan. Gajah liar itu berada dalam keadaan sihat dan stabil. Di akan dilepaskan semula ke habitat asalnya," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Ady Ermanty juga turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri bagi menangani konflik hidupan liar dan segera menghubungi pihaknya di talian hotline 1-800- 88-5151 jika terdapat sebarang aduan melibatkan gangguan hidupan liar.

Artikel Berkaitan: