Setanding kawasan selatan JB

Osman (tengah) disambut meriah di SMK Dato Penggawa Barat.
Osman (tengah) disambut meriah di SMK Dato Penggawa Barat.
A
A
A

PONTIAN - Pembinaan jambatan yang menyeberangi Sungai Pulai dari Pontian ke Gelang Patah, di Johor Bahru dijangka akan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih pesat pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, daerah ini bukan sahaja dikenali sebagai hab pengeluaran kerang, tetapi juga mampu menandingi kawasan di selatan Johor Bahru yang sudah membangun dengan pelbagai industri berat.

Katanya, jika dahulu perjalanan dari Johor Bahru memakan masa hampir sejam dua, namun kini dengan adanya jalan pintasan, ia boleh memakan masa setengah jam sahaja.

“Keadaan ini akan menjadi lebih baik apabila jambatan dari Tanjung Piai ke Gelang Patah merentasi Sungai Pulai siap kelak.

“Bukan itu sahaja, pembinaan jambatan ini akan memberi kemudahan dan akses lebih mudah kepada penduduk,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat kali ke-34, semalam.

Hadir sama, ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, Pegawai Daerah, Zulkifly Mohd Tahir, Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Nor Syazlan Abd Razak, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Karmaine Sardini serta Pengetua, Mohd Shaphri Mohd Yusof.

Osman turut mengingatkan penduduk agar sentiasa menjaga pusaka tanah memandangkan harga pasaran tanah terutama di Tanjung Piai semakin meningkat sehingga bernilai jutaan ringgit.

“Harga hartanah di sini meningkat disebabkan permintaan dari pelabur, mereka yakin Pontian akan lebih membangun pada masa depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Osman melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas-bekas guru yang telah mendidik beliau semasa di SMK Dato Penggawa Barat pada 1965 hingga 1967.

Jelasnya, SMK Dato Penggawa berusia 56 tahun telah melahirkan ramai pelajar berjaya yang menjadi pemimpin dan menjawat jawatan tertinggi dalam sektor kerajaan dan swasta.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan akan memberi peruntukan RM300,000 bagi pembinaan dewan terbuka untuk kegunaan sekolah.