Penipuan jualan dalam talian meningkat

Kes melibatkan penipuan penjualan dalam talian dikesan mencatatkan peningkatan ketara berdasarkan rekod pada tahun lepas.
Kes melibatkan penipuan penjualan dalam talian dikesan mencatatkan peningkatan ketara berdasarkan rekod pada tahun lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes melibatkan penipuan penjualan dalam talian dikesan mencatatkan peningkatan ketara berdasarkan rekod pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, statistik sehingga Jun 2021 menunjukkan sejumlah 4,364 kes telah direkodkan.

"Berdasarkan rekod pada tahun 2019, sejumlah 3,516 kes telah dicatatkan, jumlah kes ini meningkat 66.2 peratus pada tahun 2020 kepada 5,845 kes.

"Bagi tahun 2021, statistik sehingga 20 Jun menunjukkan sejumlah 4,364 kes telah dicatatkan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, bagi membendung kegiatan sindiket penipuan ini, pelbagai inisiatif pembanterasan dan pencegahan dilakukan oleh polis.

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian secara dalam talian.

"Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan kepada pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

"Jangan sesekali mendedahkan nombor akaun, kod pengesahan transaksi (TAC) atau OTP kepada pihak ketiga kerana dikhuatiri maklumat tersebut boleh mengakibatkan akaun anda digunakan sebagai akaun keldai bagi menipu mangsa lain.

"Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan melakukan pembelian menerusi penjualan dalam talian yang sah memandangkan penyedia platform yang sah ini menyediakan perlindungan dan jaminan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini dalam urusniaga tersebut," katanya.

Katanya, bagi mendapatkan nasihat mahupun menyalurkan maklumat berkenaan kes-kes jenayah dalam talian, orang ramai boleh berhubung dengan CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599.