X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Penduduk Jalan Kubur, Pantai Dalam hilangkan diri

Pihak berkuasa melakukan persiapan bagi perlaksanaan PKPD di Kuala Lumpur membabitkan Kampung Segambut Dalam, Segambut dan Jalan Kubur, Pantai Dalam bermula Ahad ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Segelintir penduduk di Jalan Kubur, Pantai Dalam di sini didakwa menghilangkan diri sebaik mendengar pengumuman perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dibuat pada petang Jumaat.

Ahli Parlimen Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang melihat ada penduduk dipercayai dari kawasan itu bertindak demikian.

Menurut beliau, bagi mengelak lebih ramai penduduk keluar dari kawasan berkenaan, beliau mencadangkan laluan tikus ditutup lebih awal.

"Dalam tempoh pengumuman PKPD hingga ke tempoh pemasangan kawat berduri, mungkin ada sejumlah penduduk yang telah menghilangkan diri.

"Ini sedikit merisaukan, ada penduduk kejiranan telah membuat laporan polis mengatakan mereka melihat beberapa individu yang dipercayai dari Jalan Kubur bertindak demikian," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Fahmi berkata, risikan perlu dibuat lebih awal bagi membantu petugas memantau laluan keluar masuk sebelum keputusan PKPD dilaksanakan.

Fahmi
Fahmi

"Setiap PKPD tidak sama, bagi kawasan pangsapuri keadaannya lebih tersusun kerana akses terhad. Namun, kawasan kampung atau setinggan banyak laluan belakang, jadi risikan perlu dibuat awal untuk membantu mengurangkan pergerakan.

"Ketika ini, darurat masih berkuat kuasa, mungkin boleh diluluskan satu ordinan khusus atau pindaan kepada ordinan berkaitan kawalan penyakit berjangkit bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan penutupan lebih awal untuk kawasan berisiko (melibatkan penduduk yang boleh melarikan diri)," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan seramai 500 penduduk akan menjalani PKPD di kawasan itu terdiri penduduk tempatan dan juga warga asing.

"Ada warga asing pemegang penduduk tetap (PR), ada juga yang mempunyai dokumen sah dan ada juga yang tiada dokumen.

"Mereka yang melarikan diri pasti ada sebab tertentu, kemungkinan juga salah satu faktornya kerana ketiadaan dokumen lengkap," katanya.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Kuala Lumpur membabitkan Kampung Segambut Dalam, Segambut dan Jalan Kubur, Pantai Dalam selama 14 hari bermula Ahad ini susulan peningkatan kes mendadak dilaporkan di kawasan itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sebanyak 53 kes positif dilaporkan hasil ujian saringan 79 orang di Jalan Kubur, Pantai Dalam, manakala sebanyak 78 kes direkodkan daripada 646 saringan di Kampung Segambut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!