Bot karam: Seorang nelayan masih hilang

Pegawai Maritim Malaysia menunjukkan lokasi pencarian mangsa yang hilang selepas bot mereka karam pada Jumaat. - Foto: Maritim Malaysia
Pegawai Maritim Malaysia menunjukkan lokasi pencarian mangsa yang hilang selepas bot mereka karam pada Jumaat. - Foto: Maritim Malaysia
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang nelayan hilang, manakala dua lagi dijumpai selamat apabila bot mereka naiki karam di kedudukan 25 batu nautika barat daya Kuala Kurau di sini pada Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu dipercayai berlaku apabila bot mangsa berlanggar dengan sebuah bot pukat tunda di perairan Larut, Matang dan Selama.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan lain selepas tiga jam terapung.

"Seorang tekong dan awak-awak berusia 35 dan 21 tahun dapat diselamatkan. Seorang lagi awak-awak yang hilang dikenali sebagai Mohd Syarif Hasyim, berusia 25 tahun.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan kira-kira jam 2 petang sebaik menerima maklumat itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Lokasi pencarian mangsa yang hilang. - Foto: Maritim Malaysia
Lokasi pencarian mangsa yang hilang. - Foto: Maritim Malaysia

Beliau berkata, operasi turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kurau dan komuniti nelayan.

"Antara aset yang diatur gerak ialah Kapal Maritim Gagah, Kilat 9 dan helikopter Maritim Malaysia AS 365 N3, selain KD Mahameru milik TLDM dan sebuah bot PPM.

Artikel Berkaitan:

"Pencarian dibahagikan kepada empat sektor merangkumi keluasan 186.3 batu nautika. Sehingga kini operasi masih diteruskan," katanya.