Demokrasi Rundingan: Langkah ke hadapan untuk Malaysia?

No Image Caption
A
A
A

MINGGU lepas adalah waktu yang penuh gejolak dalam lanskap politik tanah air, ketika negara menghadapi saat getir untuk membendung pandemik Covid-19 beserta masalah ekonomi dan sosial yang melanda.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dinanti-nantikan pada 16 Jun diharap dapat memberi petunjuk jalan keluar dari kemelut yang mencengkam serta penyelesaian kepada teka-teki politik yang melanda Malaysia ketika ini.

Sebelum mesyuarat berkenaan, pada 15 Jun, satu kenyataan yang mewakili suara rakyat dari gabungan lebih empat puluh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO) telah dikeluarkan, hasil inisiatif Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

Antara lain, kenyataan itu disokong oleh Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), G25, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Empat tuntutan dikemukakan dalam kenyataan berkenaan. Pertama adalah untuk membuka semula parlimen. Kedua adalah untuk ahli politik merentas parti agar mengetepikan perbezaan mereka dan bekerjasama bagi menyelesaikan krisis kesihatan, ekonomi dan sosial yang melanda.

Ketiga adalah agar perintah Darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

Keempat adalah untuk NGO dan CSO serta pakar dan teknokrat dilibatkan dalam menangani isu-isu yang dihadapi negara.

Mewakili sektor ketiga yang sering dipinggirkan, tuntutan tersebut diumumkan ketika pembentangan pelan pemulihan oleh Perdana Menteri dan juga pemimpin pembangkang telah diumumkan.

Artikel Berkaitan:

Selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja, kenyataan akhbar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuktikan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah mendengar suara dan penderitaan rakyat.

Kenyataan tersebut menegaskan seruan untuk membuka parlimen, tidak memanjangkan Darurat setelah 1 Ogos 2021 dan mendesak pendekatan inklusif diambil untuk mengatasi krisis negara.

Pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu disambut baik dan dipuji oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan, termasuk NGO dan CSO.

NGO dan CSO melahirkan rasa syukur kerana suara mereka didengari.

Hal ini kerana pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah bertepatan dengan empat tuntutan NGO dan CSO yang dikeluarkan sebelum berlangsung mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Walau bagaimanapun, mengambil kira pelbagai isu sosioekonomi dan politik yang diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19, perjalanan masih lagi jauh.

Selain isu-isu berkenaan, terdapat isu-isu perlembagaan seperti yang disebut oleh pakar perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi baru-baru ini.

Satu situasi yang mungkin berlaku selepas 1 Ogos ialah jika Perdana Menteri mengalami kekalahan dalam undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan pada masa yang sama, tidak ada pihak lain yang mendapat majoriti yang stabil di parlimen.

Namun demikian, umum berpendapat bahawa untuk maju ke hadapan secara konstruktif, pelan pemulihan yang dikemukakan oleh kerajaan dan pembangkang harus dibahas dengan teliti, diperdebatkan dan akhirnya distrategikan untuk pelaksanaan.

Negara kini sangat memerlukan idea terbaik merentasi kepentingan politik untuk diterjemahkan dalam tindakan-tindakan dasar sebelum terlambat.

Ketiadaan proses semak dan imbang ke atas pihak Eksekutif setelah perintah Darurat dikuatkuasakan sejak Januari lalu telah memburukkan lagi keadaan. Oleh itu, terdapat keperluan yang mendesak bagi parlimen untuk bersidang secepat mungkin untuk membolehkan proses semak dan imbang berlaku.

Untuk melengkapkan proses semak dan imbang oleh ahli-ahli parlimen, pendekatan “seluruh masyarakat” (“whole-of-society”) seperti yang digariskan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dan juga kenyataan oleh NGO dan CSO minggu lepas, adalah disyorkan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.

Untuk melaksanakannya, dicadangkan agar satu sidang perundingan yang inklusif dibentuk oleh parlimen dengan melibatkan keanggotaan pakar, teknokrat dan pemimpin NGO/CSO. Idea sidang perundingan ini bukanlah perkara baru, malah negara Ireland telah menunjukkan satu contoh yang sangat baik.

Dalam hal ini, Sidang Warga (Citizens’ Assembly) di Ireland dibentuk untuk membincangkan isu-isu nasional. Sidang Warga berkenaan mempertimbangkan dengan teliti sesuatu isu dan mengemukakan cadangan dasar untuk dibentang dan dibahaskan di parlimen.

Ini adalah satu bentuk demokrasi rundingan yang boleh dicontohi oleh Malaysia mengambil kira kemelut yang melanda. Namun, adakah Malaysia sudah bersedia untuk menerima pendekatan ini?

* Badlishah Sham Baharin ialah Timbalan Presiden, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Mohammad Abdul Hamid ialah Perunding polisi awam