X

Kindly register in order to view this article
!

Tok Batin Apen ubah fikiran terima suntikan vaksin

Apen mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai vaksin Covid-19 daripada kakitangan kesihatan bertugas sebelum menerima suntikan pertamanya sempena Program Pemberian Vaksin Bergerak di Balairaya Kampung Orang Asli Lubuk Bandung dekat Simpang Bekoh hari ini. - Foto Bernama
A
A

JASIN - Pada mulanya, Apen anak Siang, 70, berasa takut untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 kerana banyak mendengar 'cerita' negatif mengenai kesan sampingan ubat berkenaan memandangkan dirinya mempunyai penyakit darah tinggi.

Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Putus itu berkata, selepas melihat lapan lagi tok batin yang turut menerima suntikan vaksin sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diadakan buat julung-julung kali bagi masyarakat orang asli di Melaka pada Jumaat, hatinya mula berubah.

"Sebelum menerima suntikan, petugas kesihatan tanya saya ada sakit apa-apa? Saya jawab hanya ada darah tinggi. Memang pada mulanya saya datang ke Balai Raya Kampung Lubuk Bandung ini untuk lihat-lihat dahulu keadaan orang yang telah menerima suntikan vaksin.

"Namun, selepas melihat beberapa tok batin lain yang menerima suntikan tidak mengalami kesan (sampingan), saya berubah hati dan bersetuju untuk menerima vaksin. Takut pada jarum juga jadi punca saya takut nak terima suntikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di Balai Raya Kampung Orang Asli Lubuk Bandung di Simpang Bekoh di sini, yang mula dibuka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) pertama bagi masyarakat orang asli di Melaka Khamis lalu.

Kampung Orang Asli Bukit Putus yang bersempadan dengan Negeri Sembilan, terletak kira-kira 34 kilometer dari Kampung Orang Asli Lubuk Bandung.

Apen berkata, beliau akan menguar-uarkan mengenai kebaikan pengambilan vaksin kepada seluruh anak buahnya yang layak sebaik pulang ke kampung selepas ini.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, San Pat, 77, berkata, langkah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) meyakinkan kesemua sembilan tok batin masyarakat orang asli adalah tepat memandangkan setiap 'kata-kata' mereka akan diikuti oleh anak buah masing-masing.

"Selepas pegawai Jakoa masuk ke kampung bagitahu ada nak beri suntikan vaksin kepada penduduk, hanya 30 orang yang layak untuk terima suntikan, bersetuju pada peringkat awal.

"Bagaimanapun selepas saya cabar mereka terutama golongan muda, lebih ramai yang bersetuju untuk menerima suntikan dan saya amat bangga dengan kesudian mereka," katanya.

Tok Batin San Pat merupakan individu pertama dalam kalangan masyarakat orang asli suku Temuan di Melaka yang menerima suntikan vaksin sejak PICK dilancarkan beberapa bulan lepas.

Dalam pada itu, Pengarah Jakoa Negeri Sembilan/Melaka, Shahrani Idderis berkata, Kampung Orang Asli Lubuk Bandung mencatat sejarah tersendiri pihaknya kerana merekodkan pencapaian 100 peratus individu dalam kalangan masyarakat tersebut, menerima suntikan vaksin semalam.

"Terdapat 146 penduduk di Kampung Orang Asli Lubuk Bandung dengan 81 individu yang layak menerima suntikan, dan kesemua mereka bersetuju untuk berbuat demikian.

"Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan kepada kampung ini dan saya berharap ia akan menjadi ikutan kepada 13 lagi kampung orang asli yang terdapat di Melaka menerusi pengaruh daripada tok batin masing-masing," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!