Bunga Cameron Highlands masih terjual untuk pasaran luar

 Pengeluaran bunga dari Cameron Highlands bagi pasaran utamanya di luar negara masih kekal stabil ketika ini.
Pengeluaran bunga dari Cameron Highlands bagi pasaran utamanya di luar negara masih kekal stabil ketika ini.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Pengeluaran bunga dari Cameron Highlands bagi pasaran utamanya di luar negara masih kekal stabil ketika ini.

Pegawai Pertanian Cameron Highlands, Mohd Hatta Kahar berkata, antara negara luar yang mendapatkan 75 peratus daripada bunga keluaran Cameron Highlands ialah Jepun, Singapura dan Thailand.

Katanya, isu pengeluaran bunga tidak terjual ketika ini adalah melibatkan pasaran dalam negara yang meliputi 25 peratus daripada keseluruhan hasil bunga dari kawasan berkenaan.

“Saya tengok yang luar negara, jumlah pengeluarannya masih seperti dulu. Mungkin kurang sedikit tetapi dia masih agak tinggi,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Mohd Hatta berkata, terdapat lebih 100 petani bunga yang berada di Cameron Highlands dengan 90 peratus daripada keluarannya adalah bunga kekwa atau ‘chrysanthemum’.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, bunga yang tidak terjual bagi pasaran tempatan tidak boleh dijual untuk tujuan eksport disebabkan faktor penetapan kualiti dan jenis yang berbeza bagi setiap negara.

“Beza kalau hantar ke Jepun ialah jenis bunga dan juga spesifikasi. Kalau untuk Thailand, mereka tidak mahu Jepun punya spesifikasi bunga.

“Spesifikasi untuk Thailand lebih kurang sama dengan spesifikasi lokal kerana mereka juga guna untuk tujuan agama. Mereka (Thailand) boleh terima (bunga tidak terjual untuk pasaran negara) tetapi sekarang permintaan daripada mereka juga agak kurang stabil,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Lau Weng Soon berkata, usaha petani untuk memasarkan hasil bunga bagi pasaran tempatan melalui platform dalam talian didapati tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap jualan.

Jelas beliau, pasaran yang masih kecil di platform dalam talian juga menyebabkan pengusaha bunga menghadapi kekangan logistik untuk proses penghantaran hasil tanamannya kepada pengguna.