Wanita dipukul suami hingga koma terima bantuan JKM

Rina (kanan) melawat Jahidah yang terlantar di rumah adiknya di Bandar Sri Sendayan, Seremban pada Sabtu.
Rina (kanan) melawat Jahidah yang terlantar di rumah adiknya di Bandar Sri Sendayan, Seremban pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Wanita hamil yang dipukul suami sehingga koma di Larkin, Johor Bahru pada bulan lalu akan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 mulai Julai.

Surat kelulusan Bantuan Pesakit Terlantar diserahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun ketika mengunjungi wanita berkenaan, Jahidah Nordin, 43, di kediaman adiknya, Fauziah Nordin di Bandar Sri Sendayan dekat sini pada Sabtu.

Menurut Rina, bantuan tersebut bagi meringankan beban Fauziah dalam menguruskan keperluan perubatan kakaknya itu, selain menampung keperluan Jahidah yang kini menjalani rawatan pemulihan di rumah.

"Mangsa yang kini sedang hamil 14 minggu tidak mampu menguruskan diri, hanya bergantung kepada susu sebagai sumber makanan utama.

"Selain bantuan kewangan, kita juga perlu memberi sokongan moral termasuk sesi kaunseling kepada Fauziah yang kini bertanggungjawab menjaga kakaknya," katanya kepada pemberita dalam lawatan berkenaan.

Sementara itu, Rina berkata, setakat tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga 20 Jun lalu, sebanyak 529 kes keganasan rumah tangga direkodkan JKM dan Pusat Panggilan Talian Kasih.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu keganasan rumah tangga dan meminta mana-mana wanita yang menjadi mangsa supaya tampil membuat aduan kepada pihak berkaitan.

"Keganasan rumah tangga dan keadaan kesihatan mental boleh dicegah daripada melarat jika menggunakan saluran yang betul.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada talian khas yang disediakan seperti talian NUR 15999 bagi laporan keganasan rumah tangga dan talian hotline disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi laporan kesihatan mental. Talian ini boleh digunakan oleh orang ramai bagi melaporkan apa jua kes yang berlaku," ujarnya.

Dalam pada itu, Fauziah ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur dengan bantuan yang diterima itu kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung.

Menurutnya, hampir RM4,000 kos perbelanjaan diperlukan setiap bulan untuk membeli susu, lampin pakai buang, ubat-ubatan untuk keperluan kakaknya yang masih terlantar.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami pukul isteri hamil sehingga koma ditahan

ARTIKEL BERKAITAN:Wanita hamil koma dipukul suami