X

Kindly register in order to view this article
!

PIKAS: MITI harap MOSTI dapat sediakan vaksin secukupnya

Mohamed Azmin (tengah) semasa mendengar penerangan mengenai PPV PIKAS di d'Tempat Country Club, Sendayan, Seremban pada Sabtu.
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dapat menyediakan vaksin secukupnya untuk kegunaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi unjuran yang dibuat, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 600,000 dos vaksin untuk kegunaan pekerja industri dalam sektor pembuatan pada Julai.

Beliau berkata, sebanyak 600,000 dos lagi diperlukan bagi Ogos dan 700,000 dos pada September.

Setakat ini, katanya, pihaknya telah mendapat kerjasama yang baik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MOSTI bagi memastikan bekalan vaksin tersebut mampu diperoleh seawal Julai.

"Jika kesemua perancangan ini berjalan lancar, kita yakin dapat membina imuniti berkelompok bagi sektor industri pada penghujung September.

"Setakat Jumaat lalu, sebanyak 4,537 majikan sudah membuat permohonan dan mendaftar membabitkan 669,846 pekerja bagi seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di d'Tempat Country Club, Sendayan di sini pada Sabtu.

d'Tempat Country Club merupakan PPV PIKAS pertama di Negeri Sembilan yang akan mula beroperasi pada 5 Julai ini dengan kapasiti sebanyak 1,500 orang sehari.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Kanan berkata, setakat ini sebanyak 49 PPV PIKAS dan 25 kemudahan PPV di kawasan industri telah didirikan di Selangor, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

"Kita akan buat penambahan PPV PIKAS sekiranya ada keperluan. Sebelum ini kita sudah mempunyai unjuran bilangan sendiri mengikut keperluan sesebuah negeri, namun jika ada keperluan untuk tambah lagi, kita akan siapkan," ujarnya.

Mohamed Azmin berkata, setiap vaksin yang ditawarkan kepada pekerja industri melalui PIKAS adalah percuma termasuk pekerja warga asing yang bekerja di negara ini.

Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 bertujuan membantu mempercepat vaksinasi khususnya kepada golongan pekerja yang dilancarkan pada 16 Jun lalu.

Program PIKAS dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan daripada persatuan industri, dewan perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.

Ia amat penting dalam melindungi pekerja daripada risiko jangkitan Covid-19 supaya dapat memastikan ekonomi kembali rancak dan terus berdaya tahan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!