RM700 juta naik taraf infrastruktur digital di Kelantan

Mustapa (dua,kanan) bersama Mohamed Fadzli (kanan) dan Jazlan mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Abdul Karim Fakir Ali mengenai pembinaan serta operasi menara
Mustapa (dua,kanan) bersama Mohamed Fadzli (kanan) dan Jazlan mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Abdul Karim Fakir Ali mengenai pembinaan serta operasi menara
A
A
A

MACHANG - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM700 juta untuk meningkatkan infrastruktur digital di Kelantan untuk jangka masa bermula tahun 2020 sehingga 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia melibatkan kerja menaik taraf 1,232 menara telekomunikasi, pembinaan 85 menara telekomunikasi baharu dan meluaskan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi ke 54,904 buah premis.

“Sebanyak 18 buah menara telah siap dibina pada April dan Mei 2021 iaitu masing-masing satu di Jeli, Pasir Puteh dan Tanah Merah, dua di Gua Musang dan Bachok, empat di Machang dan tujuh di Pasir Mas.

"Kesemua menara ini berada di kawasan luar bandar sesuai dengan dasar untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan kampung-kampung," katanya di sini pada Sabtu dalam satu lawatan ke menara telekomunikasi di Kampung Kubang Tebit, Machang.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh.

Mengulas lanjut, apabila semua projek yang dirancang kerajaan tersebut siap dilaksanakan, status liputan 4G akan mencapai 96.3 peratus pada tahun 2022.

Malah katanya, sehingga kini terdapat 1,245 buah struktur menara selular di seluruh negeri ini yang meliputi 93.15 peratus untuk perkhidmatan 4G, 95.98 peratus (3G) dan 97.14 peratus (2G).

"Kerajaan juga akan mentransformasikan Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara termasuk 70 buah pusat di negeri ini sebagai pusat sehenti untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menguasai dunia digital.

Artikel Berkaitan:

“Pusat ini akan menjadi pusat sehenti bagi penduduk setempat untuk mendapatkan perkhidmatan digital dan khidmat nasihat. PIK di seluruh negeri ini mempunyai lebih 65,000 ahli berdaftar dan hampir 240,000 orang telah menyertai program latihan yang disediakan,"katanya.