Umat Islam boleh laksana ibadah korban menerusi wakalah

Profesor Madya Dr Azman Mohd Noor
Profesor Madya Dr Azman Mohd Noor
A
A
A

SHAH ALAM – Meskipun negara berdepan situasi Covid-19, namun umat Islam masih lagi boleh melaksanakan ibadah korban dengan cara wakalah iaitu mewakilkan pihak lain untuk melaksanakannya.

Ahli Jawatankuasa Syariah Bank Rakyat, Profesor Madya Dr Azman Mohd Noor berkata, perkara itu bukannya halangan bagi umat Islam mengerjakan ibadah yang penting.

“Ia amat digalakkan oleh Rasulullah SAW serta amalan yang sangat baik pada Hari Raya Aidiladha.

“Malah salah satu daripada 10 hari pertama daripada bulan Zulhijjah disebut oleh Rasulullah SAW bahawa tidak ada hari sesuatu amalan yang baik disukai oleh ALLAH SWT lebih daripada hari-hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Sinar Live bertajuk ‘Ibadah Korban Normal Baharu’ dihoskan oleh Dinnie Asyraf Salim yang disiarkan menerusi Platform Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azman berkata, dalam situasi pandemik Covid-19 yang dihadapi negara, mengerjakan ibadah korban dengan mengagihkan dagingnya sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan bantuan makanan.

"Ketika keadaan umat Islam berdepan dengan pandemik yang mana ramai hilang pekerjaan, sumber pendapatan dan ramai tertekan bukan sahaja di Malaysia bahkan negara-negara lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hos, Dinnie Asyraf Salim (kiri) bertanyakan soalan kepada Azman (kanan) menerusi Program Sinar Live bertajuk 'Ibadah Korban Norma Baharu' yang disiarkan menerusi Platform Sinar Harian pada Jumaat.
Hos, Dinnie Asyraf Salim (kiri) bertanyakan soalan kepada Azman (kanan) menerusi Program Sinar Live bertajuk 'Ibadah Korban Norma Baharu' yang disiarkan menerusi Platform Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, untuk tujuan itu, Bank Rakyat turut menganjurkan program ibadah korban seperti lembu dan kambing di masjid atau di tempat sembelih yang dibenarkan.

“Bank Rakyat menawarkan perkhidmatan tersebut sebagai salah satu daripada pembiayaan sosial dan aktiviti kemasyarakatan, di mana selain aktiviti perbankan pembiayaan biasa, Bank Rakyat juga menawarkan aktiviti korban.

“Sebenarnya sebelum pandemik ini, ia kurang mendapat sambutan tetapi sejak akhir-akhir ini sambutannya semakin meningkat,” katanya sambil menambah program tersebut bermula pada 2018.

Justeru, beliau berkata, mereka yang mahu mengerjakan ibadah korban boleh membuka Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dengan hanya RM10.

“RM10 sudah boleh buka Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan apabila sudah sampai RM800, kita boleh daftar dan bank akan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi pemegang akaun tersebut untuk menawarkan ibadah korban,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, pemegang akaun atau pendeposit boleh menyimpan duit mereka sedikit demi sedikit ke dalam akaun terbabit.

“Kerana ia lebih memudahkan masyarakat kita yang suka membuat ibadah korban ini dan kadang-kadang tidak sedar sudah tiba musim ibadah korban. Jadi apabila ada Akaun Simpanan-i Tabung Qurban ini ia lebih membantu untuk kita merancang untuk simpan sikit-sikit,” katanya.

Beliau pada masa sama turut memberikan jaminan bahawa simpanan untuk ibadah korban berkenaan adalah selamat.

“Yang penting sekali pelaksanaan itu dilakukan dengan tepat, betul dan patuh Syariah. Kadang-kadang itu sesetengah tidak ada pemantauan dan tidak diaudit.

“Tetapi bank akan melakukan audit seperti mana bahagian pengoperasian ataupun produk-produk yang lain. Jadi sentiasa ada pemantauan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, mereka yang melaksanakan ibadah korban juga boleh memilih untuk mendapatkan daging itu atau mengagihkannya kepada orang lain.

Katanya, pemegang akaun atau pendeposit juga boleh membawa keluar wang simpanan mereka pada bila-bila masa.

“Kita tidak tidak boleh menghalang pemegang deposit untuk membawa keluar duit mereka. Sedangkan pendeposit Tabung Haji jika dia terdesak pun boleh membawa keluar wang.

“Jadi sama juga dengan kes ini, mereka boleh membawa keluar cuma lebih kepada perancangan kewangan bagi memudahkan kita sebab kita sudah memperuntukkannya. Pada kebiasaannya orang tidak akan usik kerana ia akan lebih memudahkan kita dari segi perancangan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Azman menegaskan, ibadah korban yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya juga dimaklumkan di Kuala Lumpur sebagai contohnya tidak boleh dibuat di masjid-masjid dan surau-surau.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Pesekutuan (Jawi) ada juga menganjurkan program korban dan orang ramai boleh menyertai program tersebut melalui mereka yang akan dilakukan di pusat penyembelihan yang khusus dengan SOP tertentu.

“Jadi, samalah juga Bank Rakyat. Bank Rakyat mestilah mematuhi ketetapan pihak berkuasa khasnya dalam keadaan Covid-19,” katanya.