X

Kindly register in order to view this article
!

Industri aeroangkasa Malaysia akan terus berkembang

Industri aerongkasa Malaysia akan terus berkembang berikutan pertambahan penduduk di Asia dan perkembangan sektor penerbangan tambang rendah. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Industri aerongkasa Malaysia akan terus berkembang berikutan pertambahan penduduk di Asia dan perkembangan sektor penerbangan tambang rendah, demikian menurut penggiat industri berkenaan.

Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) Naguib Mohd Nor berkata, memandangkan hanya 20 peratus daripada jumlah penduduk dunia pernah menaiki pesawat, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk pertumbuhan pada masa akan datang.

Laporan PwC pada 2020 menempatkan negara pada kedudukan ke-18 dari segi daya tarikan pembuatan komponen aeroangkasa global.

“Kita merupakan penggiat dunia dan ia juga merupakan faktor aeroangkasa telah diiktiraf sebagai perkhidmatan penting kerana kita adalah sebahagian daripada rantaian bekalan global,” kata Naguib dalam taklimat media secara maya.

Taklimat mengenai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang turut dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang dan ekosistemnya itu, dianjurkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang bertajuk ‘Dialog bersama Malaysia Airports: Kebangkitan Lapangan Terbang Subang sebagai Hab Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) Asia Pasifik.’

Naguib berkata, syarikat di Malaysia telah mula mendapat lebih banyak permintaan bagi sebut harga dalam rantaian bekalan penerbangan.

“Beberapa lagi kontrak (daripada) syarikat-syarikat besar akan bersesuaian dengan rantaian bekalan PKS, memacu pemulihan kita dan kami berharap untuk mencapai hasil sebanyak RM55.2 bilion di bawah Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2015-2030 sekiranya industri ini pulih dan berupaya mengikuti kemajuan teknologi.

"Malaysia mempunyai kemampuan untuk bersaing, namun kita tidak boleh mengabaikan pusat kecekapan, yang mana LTSAAS atau Lapangan Terbang Subang akan menjadi komponen penting dalam matlamat ini,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Pelan Penjanaan Semula LTSAAS, MAHB berkata, ia akan merujuk dan mendapatkan pengesahan daripada kerajaan.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjual mana-mana aset atau hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Subang kepada mana-mana pihak.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan pada 7 Mei lepas pula memaklumkan, kerajaan terbuka dalam menerima cadangan oleh mana-mana pihak bagi tujuan mengembangkan aset baharu atau sedia ada.

Bagaimanapun, MOT berkata tidak ada sebarang keputusan dibuat oleh Kabinet untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian Lapangan Terbang Subang kepada sektor swasta, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Mengulas mengenainya, Naguib berkata, sebelum ini, banyak perbincangan telah dibuat mengenai pengambilalihan LTSAAS, sekali gus telah membimbangkan operator asing.

“Industri ini mahukan hala tuju yang jelas dan kukuh untuk berkembang dan LTSAAS adalah kuncinya.

“Sehubungan itu, pelan ini perlu segera diluluskan. Sebarang penangguhan kepada pelaksanaan ini akan memberi kesan kepada jangka masa operator, strategi pelaburan dan keputusan untuk melabur di Malaysia.

“Pelabur aeroangkasa akan melihat LTSAAS sebagai berisiko tinggi dalam keputusan pelaburan mereka kerana ia sering terbabit dalam (perbincangan) pengambilalihan sedemikian,” katanya.

Ketua KLIA Aeropolis Sdn Bhd, Randhill Singh berkata industri itu menyumbang hasil sebanyak RM16 bilion pada 2019 daripada RM12 bilion pada 2015, namun merosot kepada RM11 bilion pada 2020 akibat Covid-19.

“Ekosistem Lapangan Terbang Subang menyumbang sebanyak 50 peratus atau RM5.7 bilion daripada RM11 bilion ini. Pelan Penjanaan Semula LTSAAS akan memaksimumkan Subang dari segi kedudukan, infrastruktur dan jumlah operator untuk membantu negara mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah rangka tindakan itu,” kata Randhill. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!