Menang kalah berasaskan fakta

A
A
A

KINI kita tidak dapat mengelak daripada menghadapi khabar berita mengenai kes mahkamah yang dihadapi oleh orang kenamaan dan pemimpin-pemimpin politik, termasuk yang pernah menjadi menteri dan perdana menteri. Nama-nama mereka tidak perlu diulangkan di sini, kelak bak sudah terang bersuluh lagi.

Pada era TV dan media sosial yang berleluasa ini, wajah mereka yang relevan sentiasa kelihatan di skrin TV dan telefon bimbit. Oleh kerana kita menghadapi pilihan bebas dalam kehidupan, maka kita masing-masing terpisah antara pihak yang percaya dengan yang tidak percaya.

Timbullah keadaan si itu betul dan si ini salah. Ada pula yang mengatakan si itu tidak ditahan begitu lama selepas dituduh disebabkan si itu sebenarnya tidak bersalah. Si ini kononnya bertindak ke atas si itu kerana membalas dendam. Sebab musababnya hanyalah dibuat-buat. Begitulah seterusnya.

Apa yang patut diketahui ialah dalam kes mahkamah, sama ada benar atau salah dalam sesuatu pertuduhan ditentukan fakta. Asas utama mahkamah ialah mencari kebenaran, mengasingkan beras daripada antah, dan untuk itu tiada yang lebih penting daripada fakta, satu istilah yang berasal daripada bahasa Inggeris, ‘fact’.

Menurut Kamus Oxford, ‘fact’ bererti sesuatu yang pernah berlaku atau yang benar atau pernah wujud. Kamus Dewan pula memberi erti ‘fakta’ sebagai sesuatu yang benar, benar-benar berlaku yang boleh dibuktikan. Pengertian kedua-duanya lebih kurang sama, berpusat kepada kebenaran yang terbukti. Tentunya kes 1MDB sudah terlalu banyak dikunyah, namun ia sukar dielakkan dari disebut memandangkan banyak kes lain yang kait-mengait di mahkamah.

Kes wang RM2.7 bilion yang masuk ke dalam akaun DS Najib di bank Arab-Malaysian (AMB) adalah kini kes mahkamah. Hingga sekarang belum ada ketentuan dari mana wang itu datang dan siapa penghantarnya. Kata-kata daripada pihak Arab Saudi bahawa ia satu sumbangsih kepada Najib tidak berfakta.

Dalam amalan perbankan seantero dunia, perpindahan wang sebanyak itu pasti mempunyai faktanya di sesebuah bank - rekod dokumen daripada akaun siapa dan siapa yang meluluskan transaksi itu. Dulu penghantaran wang dipanggil Telegraphic Transfer tetapi kini panggilannya lebih ringkas, ‘on-line' saja. Rekod transaksinya RM2.7 bilion dikatakan tidak ada di mana-mana bank di Arab Saudi.

Di pihak AMB, ia tidak bertindak selaras dengan peruntukan Bank Negara. Tiada laporan dan kebenaran yang diminta dan diluluskan terlebih dahulu. Berkenaan hal ini, Tun M pernah menyebut dalam kempen PRU dulu, banyaknya wang tunai RM2.7 bilion itu bagaikan tidak terkira, berlori-lori; tidak mungkin wang sebanyak itu dipunggah ke AMB.

Artikel Berkaitan:

Saya menguatkan lagi hakikat itu. Ketika masih belum usia 20 tahun, saya menyertai Bank Negara pada awal 1960-an sebelum memasuki UM. Di situ saya memerhatikan juruwang sepanjang hari mengawasi seorang pembantu menolak wang tunai yang berikat berketul-ketul, berjuta-juta ringgit. Wang itu dimasukkan oleh bank-bank komersil ke dalam akaun masing-masing di BNM. Ambil saja wang RM100. Satu tolakan ialah RM1 juta. Ia adalah 10 ikatan, RM10,000 tiap satu, berjumlah RM100,000 setiap satu. Darabkannya 10 longgok, ia berjumlah RM1juta (agak-agaknya sama dengan RM10 juta kini).

Dari sini, jika hendak tahu berapa banyak RM2.7 bilion itu secara fizikal, darabkannya 2,700 kali. Ia boleh memenuhi tiga buah banglo besar. Mana mungkin ia dimasukkan dalam bentuk tunai. Ia tentunya melalui talian.

Secara fakta, tidak ada bukti menurut pengertian Kamus Dewan, yang boleh dikemukakan. Ia tidak ternyata benar atau wujud, menurut pengertian Kamus Oxford. Inilah yang akan dipastikan oleh mahkamah. Jika benar Najib mempunyai fakta terbukti tidak bersabit, mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukum salah. Beliau pasti dibebaskan. Jika sebaliknya, beliau akan didapati bersalah dan akan mendapat hukuman setimpal.

Selepas disebutkan semua itu, ada satu lagi yang tidak pernah atau jarang disebutkan. Wang RM2.7 bilion itu boleh dianggapkan sebagai pendapatan. Ini perlu diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk maksud pembayaran cukai pendapatan. Di sini saya suka mengulangi kes Naib Presiden AS, Spiro Agnew. Pada 1973, beliau meletak jawatan kerana seorang kontraktor mengaku memberi $10,000 kepadanya ketika menjadi Gabenor Maryland. Beliau dikira melakukan jenayah lari daripada cukai. Tuduhan rasuah tidak diambil.

Apakah pertuduhan begini akan menghantui Najib jika pertuduhan lain dalam RM2.7 bilion ini tidak terlekat, sama-samalah kita tunggu. Ini belum lagi dikira pertuduhan melibatkan pihak-pihak lain yang berbanjar dari 1MDB. Faktalah yang menjadi inti dan asasnya.

* Tan Sri Adam A Kadir,mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet