Sultan Selangor perkenan DUN Selangor bersidang 23 Ogos ini

Sultan Sharafuddin memberi perkenan Dewan Undangan Negeri Selangor bersidang pada 23 Ogos hingga 3 September ini,
Sultan Sharafuddin memberi perkenan Dewan Undangan Negeri Selangor bersidang pada 23 Ogos hingga 3 September ini,
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-14, 2021 yang dijadualkan bermula 23 Ogos hingga 3 September depan.

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata, Sultan Sharafuddin melalui Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, telah menghantar surat jawapan menyatakan baginda berkenan untuk pembukaan DUN pada tarikh itu rentetan surat yang dihantar oleh beliau Rabu lepas.

"Baginda juga turut berkenan berangkat bagi merasmikan istiadat pembukaan sidang DUN pada 23 Ogos nanti.

Hari pertama pembukaan akan ada titah Sultan Selangor dan selepas itu, dewan akan ditangguhkan.

Keesokannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan membahas usul menjunjung kasih titah ucapan tuanku.

"Untuk pembukaan sidang DUN ini, ia akan dijalankan secara biasa bukan hibrid namun dengan prosedur operasi standard yang ketat memandangkan kita masih lagi dalam situasi pandemik dan semua ADUN akan diberi masa yang secukupnya untuk berbahas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya akan memberi keutamaan kepada pengamal media yang sudah melengkapkan dua dos suntikan bagi liputan pembukaan sidang DUN itu.

"Bagi liputan media, kita akan jemput semua tapi saya akan atur mereka yang sudah menerima dua dos vaksin akan diutamakan.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana kesemua ADUN dan ketua jabatan (yang menghadiri sidang DUN) sudah menerima dua dos vaksin.

Mereka yang baru menerima satu dos, kita akan perhalusi lagi,” katanya.

Ng berkata sekiranya sidang DUN itu berlangsung ketika tempoh darurat, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shaari akan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan Seri Paduka mengadakan sidang DUN pada tarikh tersebut.