Sidang Parlimen: Penjelasan diharap dapat redakan suhu

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM – Penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkenaan persidangan Parlimen diharap meredakan 'suhu' yang sengaja dipanaskan oleh mereka yang berkepentingan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dua kenyataan itu menunjukkan kerajaan sentiasa memastikan semua peraturan dan perundangan dipatuhi selaras dengan tekad untuk menjulang kedaulatan undang-undang.

“Negara kita pernah rosak kerana tidak menghormati undang-undang dan menurut kehendak beberapa orang ahli politik yang tamak kuasa dan harta.

“Kita tidak mahu situasi itu berulang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Rais dan Azhar dalam kenyataan bersama sebelum ini berkata, persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Bagaimanapun, mereka berkata, beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan berjalan lancar.

Idris pula dilapor Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri untuk memanggil Parlimen bersidang mengikut Perkara 40(1), dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menegaskan, negara tidak memerlukan politik yang keterlaluan pada masa ini kerana ia hanya akan memesongkan fokus daripada keutamaan yang sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

“Saya sering sebutkan bahawa tumpuan kita pada masa ini ialah menangani cabaran wabak Covid-19 dengan cara yang terbaik supaya kita #menangbersama,” katanya.

Beliau turut berharap dengan penjelasan yang jelas itu boleh dikembalikan fokus kepada keutamaan sebenar iaitu menangani Covid-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Tinggalkan saja mereka yang mahu mempolitikkan segala-galanya dan kekalkan fokus kita kepada rakyat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang Parlimen: Agong perlu ikut nasihat jemaah menteri

Sidang Parlimen secara hibrid dijangka akhir Ogos, awal September