X

Kindly register in order to view this article
!

Pelan Pembangunan Semula LTSAAS bakal jana RM10 bilion pendapatan

LTSAAS menjadi antara tujuh daripada 39 buah lapangan terbang kendalian MAHB yang menjana keuntungan tinggi. - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dijangka menjana pendapatan sebanyak RM10 bilion kepada ekonomi negara.

Ketua KLIA Aeropolis MAHB, Randhill Singh berkata, nilai itu menjadikan kadar produktiviti di sektor aeroangkasa hampir lima kali lebih tinggi berbanding sektor lain termasuk logistik dan pembangunan hartanah.

"Kita percaya pelan pembangunan semula ini akan melipatgandakan perolehan LTSAAS.

"Sasaran awal kita menjangkakan perolehan tahunan LTSAAS akan meningkat empat kali ganda seterusnya dapat memastikan prestasi kewangan MAHB lebih kuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada program 'In Conversation with Malaysia Airports: The Rise of Subang Airport as APAC's Preferred MRO Hub' yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Randhill berkata, LTSAAS atau dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang menjadi antara tujuh daripada 39 buah lapangan terbang kendalian MAHB yang menjana keuntungan tinggi.

Beliau menjelaskan, disebabkan Lapangan Terbang Subang menjana untung, ia membantu dalam konsep subsidi silang yang dilaksanakan MAHB kerana pihaknya turut mengendalikan lapangan terbang yang kurang menjana keuntungan.

Menurutnya, menerusi Pelan Pembangunan Semula LTSAAS, MAHB membuat pelaburan sebanyak RM1.3 bilion membabitkan RM300 juta untuk penyediaan infrastruktur asas.

Katanya, inisiatif itu akan menyediakan lebih 19,000 peluang pekerjaan.

"Kami juga akan membawa 30 hingga 50 pengendali penerbangan baharu dan jumlah ini dua kali ganda daripada jumlah pengendali tempatan dan antarabangsa di LTSAAS ketika ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan MAHB telah menghantar Pelan Pembangunan Semula LTSAAS kepada kerajaan bertujuan menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai hab penerbangan dan aeroangkasa pilihan di Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pada tahun 2020, ekosistem perniagaan di LTSAAS telah menjana 50 peratus daripada perolehan keseluruhan industri aeroangkasa negara dengan nilai sebanyak RM5.7 bilion.

"LTSAAS kini menempatkan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) paling bernilai tinggi dan pembuatan produk paling kompleks di negara ini melibatkan 4,000 tenaga buruh yang menerima purata gaji bulanan antara RM4,000 dan RM25,000," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!