X

Kindly register in order to view this article
!

Penganalisis cadang langkah selamatkan TH

Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) boleh diselamatkan dengan menghadkan pemberian subsidi hanya kepada jemaah daripada golongan B40 dan warga emas.

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dengan kaedah itu sekaligus dapat menampung subsidi pengiring.

“Saya cadangkan subsidi diberi hanya kepada golongan B40 dan warga emas sahaja. Jadi secara tak langsung boleh beri subsidi juga kepada pengiring mereka.

“Sebab kekurangan itu dapat tampung dengan golongan T20 yang dikenakan harga sebenar namun untuk golongan B40 mungkin boleh mengikut keadaan dan pertimbangan TH,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menolak langkah menaikkan kos menunaikan haji yang dibayar jemaah bagi menyelamatkan TH kerana ia hanya akan membebankan ketika rakyat sedang berdepan kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, beliau turut berpendapat pengurangan hibah atau bonus kepada pendeposit yang berbilion ringgit setiap tahun turut mampu menyelamatkan TH.

Meskipun TH berkemungkinan berdepan risiko pendeposit membuat pengeluaran secara besar-besaran kerana pulangan yang sedikit namun rakyat perlu menyedari tujuan TH ditubuhkan.

“TH perlu jana keuntungan setiap tahun untuk penuhi tiga cabaran iaitu tampung kos operasi, tampung subsidi dan beri hibah. Tapi saya fikir hibah itu tinggi jadi kalau dapat kurangkan sedikit, TH akan dapat tampung kos subsidi.

“Secara tak langsung subsidi boleh dikekalkan kepada jemaah dan pengiring cuma risikonya apabila hibah diturunkan, pendeposit berkemungkinan akan menarik keluar sebab majoriti simpan nak dapat pulangan.

“Pendeposit perlu faham, mereka letak duit di TH itu bukan untuk mendapatkan pulangan tapi untuk pergi haji. Maknanya tak apalah hibah itu tak dapat banyak janji yang nak pergi haji ini dapat pergi dengan harga yang rendah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, setiap tahun TH memberikan hibah yang tinggi sekitar 5 hingga 6 peratus sehingga institusi itu menjadi pilihan pendeposit malah ada yang sengaja menyimpan sejumlah wang yang banyak meskipun bukan untuk menunaikan haji.

Sebelum ini, TH membuat pembayaran RM2.88 bilion dengan 4.25 peratus hibah tahunan dan tambahan hibah haji sebanyak 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2016.

Bagi tahun kewangan 2017 pula, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak RM2.7 bilion dengan 4.50 peratus dan tambahan hibah haji 1.75 peratus kepada yang belum menunaikan haji.

Beliau turut bersetuju cadangan agar TH menghadkan simpanan pendeposit dalam TH seperti Amanah Saham Berhad (ASB).

Dalam pada itu beliau melihat menjadi keperluan untuk TH mengambil inisiatif melaporkan kemasukan dan pengeluaran wang secara besar-besaran kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sebab sekarang ini TH tidak ada akta bank menyebabkan TH berisiko menjadi tempat penggubahan wang haram.

“Orang yang berduit ini suka masukkan dan keluarkan wang banyak-banyak di TH kerana tidak diberitahu kepada Bank Negara.

"Jadi kalau laporan dibuat, secara tak langsung TH tidak menggalakkan pendeposit buat transaksi dalam jumlah yang banyak,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!