'Chong Wei masih Ketua Kontinjen Malaysia'

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih kekal sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bulan depan.

"Saya ingin maklumkan bahawa setakat ini Chong Wei masih lagi ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sekiranya terdapat perkara berbangkit mengenai perkara ini, kita akan maklumkan secara rasmi," kata Mohamad Norza kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu sebelum ini dilaporkan tidak akan menyertai atlet negara ke Tokyo.

Menurut laporan sebuah portal tempatan, Chong Wei membuat keputusan itu selepas mendapat nasihat doktornya berikutan faktor kesihatan selain kes Covid-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

Chong Wei yang tiga kali muncul sebagai naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), secara rasmi dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 18 Jun 2019.

Pada Sukan Olimpik kali ini, Malaysia bakal mempertaruhkan dua jaguh berbasikal trek - Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom; Khairul Anuar Mohamad (memanah), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee (terjun); Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (pelayaran).

Skuad badminton pula diketuai pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, Soniia Cheah; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, dua pemain golf profesional negara -Gavin Kyle Green dan Kelly Tan turut disahkan melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo 2020.