X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan timbang semua cadangan, penyelesaian ringan beban rakyat

Tengku Zafrul
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan dan penyelesaian yang dikemukakan bagi meringankan beban rakyat terutamanya dalam mengharungi Fasa 1 dan fasa-fasa seterusnya Pelan Pemulihan Negara, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, salah satu permintaan yang sering diterima Kementerian Kewangan adalah perlanjutan program i-Sinar dan i-Lestari.

“Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi rakyat, malah saya juga secara peribadi ada kenalan dan saudara yang memohon i-Lestari dan i-Sinar dalam mereka menghadapi cabaran masa ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, pada Jumaat.

Pada masa yang sama, Tengku Zafrul berkata, ada juga pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen dan simpanan hari tua rakyat tergugat disebabkan kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah ada pelbagai suara menyokong dan membantah. Kami akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kewangan dan KWSP sentiasa mendengar luahan dan keluhan rakyat dan Sesi Zoom dengan beberapa orang pempengaruh (influencer) yang diadakan baru-baru ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan maklum balas bagi membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

“Baru kelmarin saya telah bermesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah dan pengurusan kanan KWSP bagi memperhalusi bantuan yang sesuai untuk Pelan Pemulihan Negara,” tambahnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!