X

Kindly register in order to view this article
!

Zii Jia dalam prestasi terbaik

Zii Jia bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik.
A
A

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berada dalam prestasi terbaik dan mampu melakar keputusan positif pada Sukan Olimpik Tokyo bulan depan, walaupun tanpa aksi kompetitif sejak Mac lalu.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, Zii Jia telah banyak belajar dari pengalaman lepas selain percaya persiapan anak buahnya itu tidak terjejas meskipun tidak menyertai sebarang kejohanan hampir empat bulan setelah kali terakhir beraksi pada Kejuaraan All England 2021.

Zii Jia mencipta sensasi selepas muncul juara All England 2021 dengan menewaskan juara bertahan yang juga pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final di Birmingham.

“Saya percaya Zii Jia boleh mengawal situasi dengan lebih baik kali ini. Barisan kejurulatihan kini berusaha membantunya menerusi beberapa program termasuk meningkatkan kekuatan fizikal dan corak latihannya serta adakan perlawanan ujian sama seperti kejohanan sebenar sebelum ke Tokyo,” katanya baru-baru ini.

Selepas muncul juara kejohanan badminton tertua dunia di England, hasrat pemain kelapan terbaik dunia itu untuk memantapkan prestasinya bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tidak kesampaian susulan pembatalan Terbuka Malaysia Mei lepas dan Terbuka Singapura awal bulan ini berikutan situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda dunia.

Situasi sama pernah berlaku kepada pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini apabila terpaksa ‘berehat panjang’ hampir setahun ekoran pembatalan kejohanan badminton akibat Covid-19 sebelum kembali beraksi di tiga kejohanan di Bangkok, Thailand awal tahun ini.

Namun, Zii Jia menampilkan persembahan hambar dalam tiga kejohanan itu selain terkandas di peringkat separuh akhir Terbuka Switzerland 2021 sebelum bangkit memperagakan aksi luar biasa menjulang kejuaraan All England 2021.

Sementara itu, Hendrawan yakin kehadiran pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren sebagai rakan sepelatih Zii Jia sejak 24 Mei lalu dapat membantunya mempersiapkan diri menjelang Sukan Olimpik Tokyo, dijadual berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Sebagai pemain senior, Daren mungkin boleh bantu Zii Jia, bukan sahaja dari sisi latihan tetapi pengalaman, cara hadapi tekanan serta kualiti sparring," katanya.

Pemain kelahiran Kedah yang bakal membuat penampilan pertamanya pada temasya sukan terbesar dunia itu pastinya antara pencabar pingat di Tokyo susulan kejayaannya menjulang kejuaraan All England 2021.

Selain Zii Jia, tujuh lagi pemain badminton bakal menggalas cabaran negara di Tokyo ialah perseorangan wanita Soniia Cheah, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan ini menjadikan mereka sebagai skuad terbesar dalam kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo.

Mereka akan disertai Khairul Anuar Mohamad (memanah); Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek); Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee (terjun); Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik); serta empat atlet pelayaran - Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!