MAHB rujuk kerajaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Semula LTSAAS

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang. Gambar kecil: Nik Anis
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang. Gambar kecil: Nik Anis
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk mengesahkan sama ada Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang diteruskan atau sebaliknya.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB, Nik Anis Nik Zakaria berkata, ia susulan pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Jumaat bahawa LTSAAS atau turut dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang tidak akan dijual.

"Sama ada Pelan Pembangunan Semula LTSAAS ini boleh terus diimplimentasikan atau tidak, kita perlu rujuk dan sahkan dengan MOF dan MOT.

"Sebabnya, daripada kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua kementerian itu, tidak disentuh tentang Pelan Pembangunan Semula LTSAAS secara spesifik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan tiada perancangan jual LTSAAS

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara maya mengenai pembangunan Lapangan Terbang Subang sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) pilihan Asia Tenggara (APAC) pada Jumaat.

Nik Anis (bawah, kiri) menyentuh tentang pelaksanaan Pelan Pembangunan Semula LTSAAS pada sidang akhbar secara maya pada Jumaat.
Nik Anis (bawah, kiri) menyentuh tentang pelaksanaan Pelan Pembangunan Semula LTSAAS pada sidang akhbar secara maya pada Jumaat.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua KLIA Aeropolis MAHB, Randhill Singh dan Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor.

MOF dan MOT pada Jumaat menafikan spekulasi bahawa kerajaan akan menjual LTSAAS kepada pihak swasta sebagaimana khabar angin yang hangat diperkatakan.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, MAHB masih memiliki pajakan selama 60 tahun ke atas tanah yang terletaknya lapangan terbang itu iaitu sehingga tahun 2067.

Menurut Nik Anis, pihak MAHB perlu mendapatkan perincian tentang perkara itu dengan kedua-dua kementerian tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan media rasmi.

Mengulas lanjut, Nik Anis berkata, pengambilalihan LTSAAS oleh pihak swasta akan memberi implikasi buruk kepada keseluruhan rangkaian dan kemampuan MAHB untuk menampung lapangan terbang yang kurang menjana keuntungan.

Katanya, MAHB mengendalikan sebanyak 39 lapangan terbang seluruh negara dan daripada jumlah itu hanya tujuh buah lapangan terbang yang menjana keuntungan tinggi.

"Jadi kesan pengambilalihan LTSAAS oleh pihak swasta ini akan beralih kepada kerajaan juga kerana akan menanggung beban untuk menampung operasi beberapa lapangan terbang yang kurang menjana keuntungan," katanya.