MAHB sambut baik status terkini LTSAAS

Zambry Abdul Kadir
Zambry Abdul Kadir
A
A
A

SHAH ALAM- Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyambut baik pengumuman mengenai status terkini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) oleh kerajaan.

Menurut beliau, sokongan pihak kerajaan terhadap Malaysia Airports itu lebih mendalamkan lagi komitmen syarikat tersebut untuk terus menyumbang dalam mencapai aspirasi negara dan memperkukuhkan industri penerbangan Malaysia.

"Saya mewakili pihak Malaysia Airports dan seluruh warga kerjanya ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak kerajaan terutama sekali Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan yang mengesahkan bahawa Malaysia Airports kekal sebagai operator LTSAAS sehingga tahun 2067 dan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar lapangan terbang ini.

"Kami yakin komitmen ini dapat dipenuhi sepenuhnya dengan pelaksanaan pelan Regenerasi LTSAAS yang telah dirangka yang akan memastikan ia kekal sebagai aset strategik negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Zambry menggesa kerajaan untuk membatalkan hasrat menswastakan dan mengeluarkan LTSAAS bagi tujuan pengambilalihan oleh pihak tertentu.

Kata beliau, pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan merupakan sebahagian daripada kerangka besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara.

Jelasnya, ia adalah di bawah Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.

“Ini merupakan kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan LTSAAS. Justeru, tidak timbul perkara yang dimainkan oleh kalangan tertentu bahawa saya tidak pernah bersama dalam usaha menyelamatkan LTSAAS dan kedudukan syarikat secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

“Saya menghormati pendirian Kesatuan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Semenanjung (Kesma), Kepemab (Sabah dan Labuan) serta Kepmas (Sarawak) kerana mereka mewakili suara warga Malaysia Airports.

“Saya masih menaruh harapan agar kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports agar LTSAAS tidak dijual. LTSAAS adalah aset strategik negara yang perlu dipertahankan,” katanya.

Pada 25 Jun, Kesma mendakwa Malaysia akan kerugian sebanyak RM11.9 bilion sekiranya Lapangan Terbang Subang berjaya diambil alih oleh WCT Holdings Bhd dan Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB).

Yang Dipertuanya, Hussin Shahar berkata, usaha yang dilakukan oleh WCT dan SSSB tersebut hanyalah untuk menguntungkan syarikat mereka sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan tiada perancangan jual LTSAAS

Kaji semula hasrat cairkan pegangan LTSAAS kepada pihak swasta