Selangor benarkan akad nikah mulai 1 Julai

JAIS membenarkan upacara akad nikah di Selangor bermula 1 Julai ini.
JAIS membenarkan upacara akad nikah di Selangor bermula 1 Julai ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan di negeri itu mulai 1 Julai depan.

JAIS menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, majlis akad nikah itu dibenarkan dilaksanakan di pejabat JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja.

Menurutnya, hanya bakal pengantin yang telah mendapat tarikh temu janji dibenarkan melangsungkan pernikahan pada hari ditetapkan.

"Kehadiran dihadkan kepada pengantin lelaki, wanita dan wali. Individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar," menurut perkongsian tersebut pada Jumaat.

Ketetapan majlis akad nikah di Selangor mulai 1 Julai.
Ketetapan majlis akad nikah di Selangor mulai 1 Julai.

Dalam kenyataan sama, JAIS memaklumkan bakal pengantin perlu memastikan telah mendapat kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun 2021 dan keputusan ujian saringan HIV pasangan masih sah.

"Bakal pengantin juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dalam tempoh 72 jam atau tiga hari sebelum majlis. Keputusan saringan perlu dikemukakan kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

"Selain itu pihak terlibat juga wajib mematuhi ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Selangor berkaitan langkah-langkah keselamatan. Tindakan tegas boleh diambil jika mereka gagal mematuhi peraturan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kenyataan itu menegaskan bahawa Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh membatalkan atau menangguhkan majlis perkahwinan jika terdapat pelanggaran peraturan itu.