13 jemaah dikompaun langgar SOP solat Jumaat di Kuala Kedah

Seramai 13 individu yang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Kedah dekat sini pada Jumaat dikompaun keseluruhan berjumlah RM19,500 kerana melanggar SOP PKP. - Gambar hiasan
Seramai 13 individu yang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Kedah dekat sini pada Jumaat dikompaun keseluruhan berjumlah RM19,500 kerana melanggar SOP PKP. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 13 individu yang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Kedah dekat sini pada Jumaat dikompaun keseluruhan berjumlah RM19,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bertindak atas maklumat awam, tiga pasukan pemantauan Ops Covid-19 bersama satu pasukan daripada Kementerian Dalam Negeri telah ke lokasi berkenaan kira-kira jam 2 petang tadi dan mendapati 34 individu termasuk kanak-kanak berada di dalam masjid itu.

“Kita biarkan mereka selesai solat dahulu sebelum mengambil tindakan. Mereka menjaga jarak dan memakai pelitup muka semasa solat tetapi melanggar SOP berkaitan jumlah jemaah,” katanya kepada pemberita di sini.

Berdasarkan arahan pelaksanaan aktiviti keagamaan dalam tempoh PKP Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, hanya 13 individu terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa kariah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau di negeri itu.

Menurutnya, daripada 34 jemaah itu, polis mengeluarkan kompaun terhadap 13 individu berusia antara 18 hingga 82 tahun sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Beliau berkata, pihak masjid turut dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 kerana gagal memastikan pematuhan SOP.

Menurut Ahmad Shukri beberapa lagi jemaah yang terdiri daripada orang kurang upaya, warga emas dan kanak-kanak tidak dikenakan kompaun kerana mempunyai alasan munasabah.

Dalam pada itu, beliau berkata, masih ada masyarakat yang memberi alasan atau bersikap pura-pura tidak tahu mengenai SOP walaupun situasi pandemik Covid-19 sudah berlarutan agak lama di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: