Sembilan individu terlibat judi Euro 2020 diberkas

Anbalagan (tengah) menunjukkan antara peralatan yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Jumaat.
Anbalagan (tengah) menunjukkan antara peralatan yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Sembilan individu dipercayai dalang kegiatan perjudian bola sepak dalam talian diberkas dalam serbuan di sebuah Pangsapuri Suria Perdana di Taman Serdang Perdana di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 9 malam berdasarkan maklumat dan risikan awam.

"Tangkapan melibatkan lapan warga tempatan termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga China berumur antara 16 hingga 29 tahun.

"Tiga daripada suspek ditahan merupakan individu bawah umur dan tidak bersekolah, mereka telah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek terlibat aktif dalam pelbagai perjudian dalam talian dan menjadi penganjur bola sepak Euro 2020 menggunakan beberapa aplikasi.

"Siasatan turut mendapati kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dengan melibatkan wang pertaruhan bermula RM50 hingga RM10,000 dan keuntungan harian mereka boleh mencecah RM100,000.

"Semakan rekod lampau mendapati terdapat beberapa suspek mempunyai rekod berkaitan kes gaduh, khianat dan jenayah melibatkan dadah," katanya.

Menurutnya, pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian turut dirampas.

Artikel Berkaitan:

"Antara yang dirampas ialah 77 buah telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba dan sebuah iPad.

"Peralatan yang dirampas akan dibawa ke makmal forensik untuk dianalisa bagi siasatan selanjutnya," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953.

"Semua suspek ditahan reman enam hari untuk siasatan lanjut," katanya.