Tunai haji kewajipan bukan hak

A
A
A

MAAF cakaplah kalau saya kata, haji dan umrah kini menjadi industri besar dan banyak orang Islam tidak lagi berfikir serta bertindak secara berintegriti apabila mengerjakan haji.

Saya bukan bercakap mengenai 'berselfy' di tempat suci di Makkah dan Madinah, tetapi berkenaan sikap dan tindakan yang lebih fundamental. Memanglah perbuatan bergambar secara melampau di tempat-tempat yang sepatutnya dihormati dan dihayati dalam hati adalah perbuatan yang sepatutnya tidak digalakkan.

Yang saya maksudkan ini ialah apabila ibadah haji dilihat dalam konteks ringgit dan sen. Memanglah betul bahawa dari dulu lagi haji dan umrah mempunyai unsur perniagaan.

Bermula beribu tahun lalu penternak unta mencari makan dengan menjual haiwan mereka kepada orang sekitar Semenanjung Arab sebagai tunggangan ke Makkah.

Bagi yang mengerjakan haji ia adalah ibadat tetapi bagi yang menguruskan haji ia adalah perniagaan.

Kalau tidak, masakan perniagaan milik orang bukan Islam sejak dahulu lagi terlibat menyediakan perkhidmatan pengangkutan laut, darat dan udara untuk jemaah haji?

Sebelum ada perkhidmatan udara, jemaah haji kita menaiki kapal dari Pulau Pinang atau Pelabuhan Klang untuk ke Makkah melalui Pelabuhan Jeddah.

Sehinggalah Lembaga Tabung Haji (TH) ditubuhkan pada tahun 1963, jemaah Malaysia menunaikan haji melalui syeikh haji dan kapal yang digunakan adalah milik syarikat Inggeris.

Artikel Berkaitan:

Yang saya rasa kurang selesa sekarang ialah ramai jemaah haji seolah-olah beranggapan bahawa mengerjakan haji adalah hak. Contohnya mereka tidak bertanya lagi mengenai subsidi haji sebaliknya menganggap bantuan itu sebagai hak.

Bukan saja orang miskin atau orang kurang ilmu pengetahuan yang berharap dan bergantung kepada subsidi. Orang kaya yang gaji berpuluh ribu ringgit sebulan dan berpendidikan tinggi pun mengharapkan subsidi juga.

Yang saya hairan ialah orang sama tidak pula keberatan membelanjakan duit sendiri untuk bercuti di tempat-tempat mewah di dalam dan luar negara. Saya rasa sikap macam ini cukup tidak sihat dan mungkin juga menimbulkan tanda tanya mengenai kesungguhan serta keikhlasan seseorang mengerjakan haji. Lagi pun kita selalu dibagi tahu bahawa haji hanya wajib ke atas orang yang mampu di segi kewangan dan sihat tubuh badan.

Saya mendapat tahu banyak penyimpan TH yang mempunyai simpanan beratus ribu ringgit tapi masih mengharapkan subsidi. Orang Islam yang kaya-raya kerana rezeki ALLAH yang melimpah ruah sepatutnya tidak lagi bergantung pada subsidi. Bukan subsidi haji saja tapi semua bentuk subsidi.

Alhamdulillah, ALLAH Taala memberikan saya rezeki dan membuka hati saya agar tidak bergantung sangat kepada kerajaan. Walaupun anak-anak saya ditawarkan sekolah asrama penuh dan boleh mohon biasiswa kerajaan saya memilih untuk membayar sendiri pelajaran mereka hingga ke universiti.

Mereka bertanya, mengapa mereka tidak boleh mohon biasiswa sedangkan keputusan peperiksaan mereka baik. Saya kata, saya mampu membiayai pengajian mereka dan manalah tahu biasiswa yang mungkin mereka peroleh itu akan diberikan kepada orang miskin.

Tetapi tidak semestinya begitu. Ada anak bekas menteri kerajaan Barisan Nasional yang keluarganya mendapat pinjaman ratusan juta untuk projek awam masih diberikan biasiswa oleh Khazanah Berhad untuk belajar di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Jadi pada pandangan saya, orang Melayu yang ada kemampuan tidak payahlah berpusu-pusu bersaing dengan orang susah untuk mendapatkan subsidi haji atau apa-apa juga subsidi serta bantuan pelajaran yang bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Khusus mengenai pengurusan haji oleh TH, kita kenalah faham dasar, matlamat dan kaedahnya. Bila kita bercakap mengenai belanja mengerjakan haji, kita merujuk kepada kos mengerjakan haji secara muassasah saja.

Dalam bahasa Arab, muassasah adalah sebuah badan yang ditubuhkan untuk mengurus pelbagai perkara yang berhubung dengan jemaah haji. Ia menggantikan sistem syeikh haji.

TH memecahkan kiraan belanja haji kepada dua. Pertama dipanggil kos haji dan kedua bayaran haji. Kos haji adalah keseluruhan belanja yang diperlukan bagi menghantar seorang jemaah pergi balik ke Makkah seperti pengangkutan, makan, tempat tinggal, khemah, mutawif, perubatan, petugas haji,kursus dan bimbingan haji, kaunseling dan perkhidmatan kaunter.

TH bagi tahu saya, kos haji tahun ini adalah RM22,900 tetapi bayaran haji yang jemaah kena bayar adalah RM9,980. Beza di antara kos haji dengan bayaran haji sebanyak RM12,920 ditanggung oleh TH dan sering disebut sebagai subsidi.

Bergantung pada kuota kerajaan Saudi, dianggarkan antara RM244.5 juta hingga RM318.9 juta.

Rasanya elok alim ulama dan cendekiawan Islam Malaysia membuka perbincangan mengenai perkara ini supaya akhirnya kita boleh berbangga dan bersyukur bahawa gelaran haji dan hajah yang kita peroleh itu adalah hasil titik peluh kita sendiri.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara