PKPD di beberapa lokaliti di KL, Sabah

SHAH ALAM - Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur dan Sabah dari 26 Jun hingga 10 Julai. - Gambar hiasan
SHAH ALAM - Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur dan Sabah dari 26 Jun hingga 10 Julai. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur dan Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang dilaksanakan di Kuala Lumpur membabitkan dua lokaliti iaitu Kampung Segambut Dalam, Segambut dan Jalan Kubur, Pantai Dalam bermula Sabtu hingga 9 Julai ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu di Sabah katanya, PKPD membabitkan dua lokaliti di Tawau dan dua lokaliti di Sandakan yang akan berkuatkuasa pada Ahad sehingga 10 Julai.

Beliau berkata, PKPD di dua lokaliti di Tawau ialah Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih.

Tambahnya, PKPD di dua lokaliti di Sandakan pula melibatkan Lorong 12, 15 dan 16, Taman Fajar dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di beberapa lokaliti membabitkan Terengganu, Kedah dan Sabah.

Ismail Sabri berkata, penamatan PKPD di Terengganu membabitkan Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, di Kedah, PKPD yang ditamatkan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok pada Sabtu.

“Sehingga kini, sebanyak 31 kes positif telah direkodkan di lokaliti ini hasil saringan ke atas 961 orang.

“KKM turut mengesahkan terdapat penurunan membabitkan kes baharu dilaporkan dalam kalangan pelajar. Tiada kes dilaporkan dalam kalangan warga kerja dan pekerja sokongan UUM sepanjang tempoh PKPD,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, untuk di Sabah, penamatan PKPD membabitkan lokaliti di Penampang, Tawau, Kota Kinabalu, Kunak dan Tuaran.

Beliau berkata, penamatan PKPD di Penampang melibatkan Taman Villa Felca Nambazan manakala di Tawau membabitkan Kampung Kadazan berkuatkuasa pada Sabtu.

“Kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di dua perkampungan di Kota Kinabalu iaitu Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai pada Sabtu seperti yang dijadualkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju untuk penamatan awal PKPD berkuatkuasa pada Sabtu di Kampung Skim Cocos, Kunak; Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu dan Taman Telipok Jaya, Tuaran di Sabah.

Menteri berkenaan turut menegaskan, kerajaan juga akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan.

“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 97,560 pemeriksaan dan 'scap check' Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 21,248.

“Pada Khamis, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan sebanyak 1,716 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,417 premis perniagaan daripada jumlah itu, dua kilang dan 11 premis telah diarahkan tutup,” katanya.