Sindiket arak didalangi ahli perniagaan masuk 'jerat'

Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas minuman keras tidak bercukai dalam serbuan Op Kontraban di sebuah premis stor di Kawasan Perindustrian Hi Tech 3 Semenyih pada Jumaat.
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas minuman keras tidak bercukai dalam serbuan Op Kontraban di sebuah premis stor di Kawasan Perindustrian Hi Tech 3 Semenyih pada Jumaat.
A
A
A

SEMENYIH - Sindiket arak tidak bercukai yang didalangi ahli perniagaan lumpuh selepas premis menyimpan minuman keras itu di Kawasan Perindustrian Hi Tech 3 Semenyih, di sini digempur pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, operasi kira-kira jam 12.05 tengah hari itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Briged Tengah PGA Cheras dengan dibantu Cawangan Risik Batalion 4 Semenyih dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Menurutnya, Op Kontraban itu bertindak merampas 378 karton mengandungi 9,072 tin minuman keras, sebuah lori, van dan kereta jenis Honda Jazz yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM284,316.

"Seramai tiga individu berusia 26 hingga 53 tahun terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar telah ditahan dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan pemandu.

"Mereka ini akan disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1963," katanya kepada Sinar Harian di lokasi serbuan pada Jumaat.

Rizal (kanan) melihat antara minuman keras tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan Op Kontraban di sebuah premis stor di Kawasan Perindustrian Hi Tech 3 Semenyih pada Jumaat.
Rizal (kanan) melihat antara minuman keras tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan Op Kontraban di sebuah premis stor di Kawasan Perindustrian Hi Tech 3 Semenyih pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket yang disyaki aktif sejak setahun lalu itu didalangi individu yang menjalankan perniagaan sah.

Rizal berkata, pihaknya telah mengenal pasti individu terbabit dan usaha mengesannya sedang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya sindiket berkenaan membawa masuk minuman keras tidak bercukai itu dari pelabuhan di selatan tanah air dan disimpan di stor terbabit sebelum dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

"Taktik pengedaran pula dikesan menggunakan van di mana ahli sindiket akan meninggalkan van berisi minuman keras itu di satu lokasi yang ditetapkan. Kemudian, peniaga akan datang membawa van itu ke premis sebelum van itu dipulangkan semua ke tempat terbabit," katanya.

Jelas beliau, taktik itu bertujuan bagi mengelakkan mereka mengenali antara satu sama lain yang berisiko membocorkan maklumat kegiatan haram itu.

Justeru, polis menyeru orang ramai agar dapat memberikan kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.